Friday, August 1, 2014

DAP sokong penuh Wan Azizah jadi MB Selangor

  • Lim Guan EngLim Guan Eng
 1 / 1 
GEORGETOWN - Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng menyuarakan sokongan penuh parti itu terhadap cadangan meletakkan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor akan datang.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata parti yang menganggotai Pakatan Rakyat akan bermesyuarat pada 10 Ogos dan antara agenda utamanya ialah membincangkan sama ada wanita boleh menjadi Menteri Besar.

Katanya, menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, cadangan PKR itu ditolak pihak tertentu dengan alasan Dr Wan Azizah adalah wanita.


"Dalam mesyuarat Pakatan itu nanti, kami perlu atasi halangan pertama dengan meminta semua pemimpin daripada PKR, DAP dan Pas menyatakan bahawa mereka tidak membantah wanita menyandang jawatan Menteri Besar.

"Kami perlu buat pendirian itu untuk membuktikan kami bersifat inklusif dan menyokong kepelbagaian," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Lim mempersoalkan sama ada terdapat peruntukan dalam Perlembagaan bahawa wanita tidak boleh menjadi Menteri Besar.

Laporan sebelum ini menyebut pemimpin PKR, Pas dan DAP - parti yang menganggotai Pakatan Rakyat - menyuarakan pelbagai pendapat tentang cadangan PKR menggantikan Menteri Besar Selangor sekarang (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dengan Dr Wan Azizah.

Sambil menafikan Pas sedang dalam proses untuk meninggalkan Pakatan Rakyat akibat perbalahan berkaitan jawatan itu, Lim menggesa semua pemimpin pakatan itu supaya tidak kehilangan arah berikutan cadangan PKR untuk mencalonkan Dr Wan Azizah mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.

Bulan lepas, presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan mengisytiharkan secara terbuka beliau menyokong Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor, walaupun Anwar mengumumkan bahawa Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat bersetuju dengan cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dengan Dr Wan Azizah. - Bernama

No comments: