Thursday, August 7, 2014

‘Langkah Kajang’ satu arahan parti

khalidibrahim
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa alasan-alasan untuk ‘Langkah Kajang’ itu tidak pernah dikemukakan kepada beliau secara tulus dan ikhlas supaya beliau dapat mempelajarinya.

Menurutnya, alasan-alasan yang diberikan adalah berubah-ubah dan tidak menentu serta mewujudkan kekeliruan.
“Saya menegaskan di sini, saya tidak pernah bersetuju dengan tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor tanpa sebaran alasan yang munasabah dan ternyata tindakan tersebut telah mencemar prinsip demokrasi dan mengkhianati kepentingan rakyat Selangor khususnya para pengundi di Kajang,”katanya dalam menjawab surat tunjuk sebab yang kemudiannya dipanjangkan kepada  Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Tan Kee Wong.

Bahkan, ‘Langkah Kajang ini adalah satu perkara yang tidak dibincang oleh pihak-pihak berkenaan dalam cara yang efektif dan adil serta tidak pernah di rujuk atau di bincang dengan Khalid.
“Apa-apa keputusan yang dibuat berkenaan ‘Langkah Kajang’ ini telah cuba dilaksanakan sebagai ‘satu arahan’ oleh parti kepada saya tanpa memberi pertimbangan yang wajar bahawa tanggungjawab saya sebagai Menteri Besar juga merangkumi tanggungjawab eksekutif terhadap semua rakyat Selangor.
“Begitu juga Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, termasuk menasihati Sultan Selangor berkenaan hal-hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau turut kesal setelah Chin Cheh melakukan tindakan tersebut, Chin Cheh tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib malah telah dibenarkan kebebasan oleh parti serta  Jawatankuasa Pemilihan Parti untuk bertanding di peringkat Cabang dan Pusat sedangkan tindakan tersebut telah mencemar nama baik parti di mata DAP, PAS serta khususnya rakyat Selangor.
Ujarnya yang juga merupakan ahli PKR seumur hidup, pihak-pihak yang berkenaan dalam perlaksanaan ‘Langkah Kajang’  tahu  bahawa pengunduran beliau sebagai Menteri Besar hanya akan diteruskan setelah mendapat persetujuan kesemua parti dalam gabungan Pakatan Rakyat serta mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.
“Parti, pada 21 Julai 2014 telah membuat keputusan dengan mengambil langkah keras memaksa saya untuk meletakkan jawatan. Tindakan ini merupakan satu tindakan pramatang yang tidak boleh dilaksanakan.
“Malah, jika keputusan itu dilaksanakan ia merupakan satu tindakan merbahaya dan akan memprejusdiskan kestabilan kerajaan negeri Selangor, selain ia adalah satu keputusan yang tidak adil bukan sahaja terhadap saya, tetapi kepada kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor khususnya,” katanya lagi.
Jelasnya, anggapan salah berkenaan kebolehan PR untuk mentadbir dan mengurus sesebuah kerajaan negeri juga akan disebarkan oleh pihak-phak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau turut menegaskan bahawa setelah dilantik menjadi Menteri Besar mengikut peruntukkan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, beliau perlu menghormati dan melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan peruntukkan undang-undang tersebut.
“Saya masih mendapat sokongan majoriti dari Dewan Negeri Selangor dan tidak ada apa-apa alasan mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang menyatakan bahawa saya harus meletakkan jawatan saya.
“Sebarang keputusan berkenaan penukaran Menteri Besar perlu memegang kepada prinsip undang-undang dan hendaklah mengikut tatacara dan prosedur sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor termasuk memperoleh perkenan dari Sultan Selangor,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, Khalid turut menjelaskan bahawa apabila satu notis tunjuk sebab dikeluarkan, adalah menjadi keperluan utama bagi notis tersebut menyatakan dengan jelas dan spesifik semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya dengan menyatakan pelanggaran mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti.
“Pernyataan secara spesifik tersebut adalah wajar dan harus diberikan secara bertulis, malangnya setakat ini, notis bertarikh 5 Ogos dilihat sebagai satu notis yang cacat, tanpa butir-butir relevan serta memadai bagi membolehkan saya menjawab,” katanya.
Di akhir surat itu juga, Khalid turut nyatakan bahawa beliau bersedia untuk menjawab sebarang pertuduhan yang dikenakan terhadapnya jika ia dilakukan secara betul dan tertib pada bila-bila masa.
“Saya berdoa agar kekeliruan dan kemelut ini tidak akan berlanjutan dan kita semua dapat bersatu meneruskan perjuangan politik parti dan bersama-sama menentang kezaliman, korupsi dan penyalahgunaan kuasa pihak-pihak tertentu,” ujarnya,

No comments: