Thursday, August 7, 2014

PAS harap pelajar Britain dibunuh tidak berulang


KUALA LUMPUR: Kejadian dua pelajar jurusan perubatan warganegara Britain dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki warga tempatan semalam benar-benar menggemparkan penduduk Sarawak.

Kejadian itu sudah pasti menjejaskan reputasi Bumi Kenyalang khasnya dalam kalangan warga asing yang banyak terlibat dalam sektor pendidkan dan pelaburan ekonomi.
 
“Tindakan pantas pihak berkuasa dalam menangkap segera suspek amatlah dipuji dan wajar diberi ucapan tahniah.

“Kita berharap satu tindakan pencegahan konkrit hendaklah dilaksanakan segera bagi memastikan kejadiaan sebegini tidak berulang lagi,” ujar Bendahari PAS Sarawak, Mohd Azwani Abd Rani (gambar) kepada Harakahdaily.
 
Justeru, katanya dasar untuk menarik pelancong asing sewajarnya bukan dengan mempromosi Sarawak sebagai pusat hiburan tetapi dengan keindahan pantai dan alam sekitar, bahan kraftangan dan keunikan penduduk serta pusat pendidikan bertaraf dunia. 

Ini, ujar beliau kerana sudah semestinya pelancong asing yang hadir mahukan kelainan di Sarawak .

Beliau berkata, sekiranya hiburan kelab malam menjadi tujuan utama mereka ke negeri itu, adalah lebih baik pelancong ini pergi ke Las Vegas atau negara asal mereka sendiri.

Menurutnya, masa operasi kelab malam melebihi 12 tengah malam bakal menimbulkan lebih banyak masalah keselamatan, khasnya kepada pekerja dan penduduk sekitar dua kawasan tersebut. 

Katanya, kebanyakan pengunjung pastinya akan pulang dalam keadaan mabuk kerana pengambilan alkohol yang pasti mengundang kecelakaan jalan raya dan permasalahan lain seperti gangsterism dan seks bebas.

Beliau juga menggesa supaya penambahan lesen berkaitan haruslah diberhentikan.
 
“Kesedaran bahaya penggunan alkohol dan arak secara tidak baik dalam kalangan masyarakat harus dipergiat sebagaimana kempen pencegahan merokok dijalankan,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Bintulu.

Menurut Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Dr Chai Khin Chung mangsa berusia 22 dan 23 tahun yang mabuk itu terdahulu singgah di sebuah kafe di Padungan selepas berhibur di sebuah kelab malam di Travilion, sekitar jam 4 pagi.

Difahamkan, berlaku pertengkaran antara mereka menyebabkan empat lelaki yang berada di kafe tersebut cuba meleraikan tetapi mencetuskan pergaduhan. – HARAKAHDAILY 7/8/2014

No comments: