Thursday, August 21, 2014

MRT: Belum Siap Dah Macam-Macam Terjadi, Kalau Dah Siap?


KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) memandang serius beberapa insiden kemalangan di tapak projek pembinaan Transit Aliran Massa atau Mass Rapid Transit (MRT) dan menggesa langkah-langkah keselamatan ditingkatkan segera.

Ini ekoran tiga orang pekerja binaan lelaki warga Bangladesh maut selepas dilaporkan dihempap landasan konkrit seberat 650 tan di tapak projek MRT berkenaan pada 8.30 malam kelmarin semasa pemasangan tembok penghadang (parapet).

Dua insiden kemalangan telah dilaporkan pada tahun ini iaitu 24 Jun dan 26 Jun, masing-masing di tapak pembinaan MRT berhampiran Pusat Bandar Damansara dan di Jalan Lapangan Terbang Subang.

Berikutan daripada insiden-insiden tersebut, para pengguna jalan raya khususnya di kawasan tapak pembinaan MRT bertambah bimbang dan risau akan keselamatan mereka, kata Naib Presiden Ikram, Syed Ibrahim Syed Noh. 

Demikian juga halnya, kata beliau dengan penduduk tempatan yang tinggal berhampiran kawasan pembinaan tersebut. 

"Dipercayai perasaan yang sama dialami lebih-lebih lagi oleh pekerja binaan projek berkenaan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata beliau pihaknya menghormati sikap tanggungjawab yang dipamerkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid apabila beliau meletakkan jawatan sebagai tanda memikul tanggungjawab penuh atas insiden maut itu.

Namun, kataya Ikram berpendapat langkah-langkah berikut perlu dilaksanakan untuk meyakinkan dan memberi jaminan kepada keselamatan rakyat dan pekerja:

- Hentikan sementara kerja-kerja di tapak pembinaan Kota Damansara sehingga pemeriksaan keselamatan terperinci dilakukan dan disahkan selamat.

- Laksanakan pemeriksaan keselamatan di semua tapak pembinaan MRT di Lembah Klang dan ambil langkah pencegahan segera.

- Siasat secara terperinci punca insiden di Kota Damansara dan kemukakan laporan penemuan serta saranan dengan telus dan bertanggungjawab kepada rakyat. Laporan insiden-insiden terdahulu juga perlu didedahkan kepada rakyat.

- Pihak MRT Corp, syarikat kontraktor utama dan syarikat-syarikat subkontraktor perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain yang berkenaan, untuk mengesahkan bahawa semua keperluan keselamatan telah dipenuhi sebelum pekerjaan dimulakan. Hal ini termasuklah bahan-bahan pembinaan yang digunakan, alat-alat keselamatan pekerja, laluan pekerja, tempoh waktu pekerja, laluan kenderaan dan amaran lalu lintas.

- Semua pihak yang berkenaan perlu melakukan pemeriksaan keselamatan secara berkala termasuk mengadakan pemeriksaan mengejut supaya keselamatan terjamin dan dipatuhi pada setiap masa khususnya semasa pembinaan.

Tambahnya, Ikram berpandangan isu keselamatan semua pihak terutamanya rakyat dan pekerja mestilah menjadi keutamaan dan tidak diambil mudah semata-mata untuk mengejar pembangunan segera MRT, bangunan pencakar langit atau pembangunan serta pelebaran jalan raya. - HARAKAHDAILY 21/8/2014

No comments: