• Gabungan NGO memberi sokongan terhadap Abdul Khalid pada Perhimpunan Aman Kebangkitan Rakyat Menyokong Menteri Besar bersama NGO di Seksyen 14, semalam.Gabungan NGO memberi sokongan terhadap Abdul Khalid pada Perhimpunan Aman Kebangkitan Rakyat Menyokong Menteri Besar bersama NGO di Seksyen 14, semalam.
 1 / 1 
Cadangan pelantikan isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim  sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu terus mendapat bantahan pelbagai pihak.

Terbaru, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Angkatan Rakyat Sedar (Aras) sebulat suara menolak cadangan pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Presiden gabungan itu, Abdul Rahim Abdul Wahad berkata, gabungan yang terdiri daripada 12 NGO itu, menolak pelantikan Presiden PKR itu dan mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meneruskan tugas beliau sebagai Menteri Besar Selangor sehingga akhir penggal.


“Abdul Khalid menjalankan tugas beliau dengan cemerlang dan gabungan ini melihat tiada sebab beliau patut diganti, kenapa nak tukar pemimpin yang baik.

“Malah beliau juga diganti dengan seorang yang bukan kelahiran Selangor,” katanya dalam sidang media, semalam.

Antara NGO yang menyertai gabungan itu ialah Gerak Arus Rakyat Bawahan Selangor, Persatuan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar, Persatuan Kongres Warisan Melayu Selangor dan Persatuan Bekas Tentera Tidak Berpencen.

Krisis Menteri Besar Selangor bermula apabila Abdul Khalid dipecat oleh PKR pada 9 Ogos lalu kerana tidak menurut arahan parti supaya meletakkan jawatan.

Abdul Khalid, yang mengekalkan jawatannya selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pula bertindak memecat anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR pada 12 Ogos lepas apabila mereka enggan menyokong kepimpinannya.

Dua hari lalu,  Pas pula membuat keputusan menarik balik sokongannya terhadap Abdul Khalid dan menamakan Dr Wan Azizah dan timbalannya Mohamed Azmin Ali untuk jawatan Menteri Besar.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam mesyuaratnya kemudian memutuskan bahawa hanya Dr Wan Azizah ialah calon tunggal bagi menggantikan Abdul Khalid.

Susulan perkembangan itu, Abdul Khalid telah dititah oleh Sultan Selangor untuk menunggu kepulangan baginda ke tanah air pada 27 Ogos ini untuk menghadap baginda bagi membincangkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor. - Bernama