Tuesday, August 5, 2014

Pemimpin PAS calon ADUN Ijok jadi MB Selangor

ijok
PETALING JAYA: Pemimpin PAS telah menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad sebagai calon untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Akhbar Sin Chew melaporkan PAS  menamakan doktor perubatan itu sebagai calon untuk mengakhiri krisis MB di Selangor  yang mungkin memecahkan Pakatan Rakyat (PR).
Akhbar tersebut juga melaporkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai bantahan sekiranya  Idris menggantikannya dan Istana Selangor dijangka tidak akan menolak pencalonan tersebut.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok sebelum ini dipegang oleh Khalid sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pemimpin PAS juga mengharapkan pemilihan Idris yang berasal dari Selangor akan melembutkan kedegilan Khalid untuk terus kekal berkuasa.
Sin Chew melaporkan, pemilihan Idris akan melembutkan golongan konservatif PAS yang tidak boleh menerima wanita sebagai pemimpin negeri terkaya Malaysia itu.
Kebimbangan utama PKR adalah tentangan daripada penyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Krisis MB Selangor menimbulkan pergolakan dalam Pakatan selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka agar Khalid kekal sebagai menteri besar sebelum parti itu berbincang pada 10 Ogos sama ada mahu menyokong Dr Wan Azizah atau tidak.
Krisis bertambah buruk apabila perbincangan mesej kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar.
Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.
PAS sendiri berpecah dalam isu menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah kerana dua sebab iaitu beliau seorang wanita yang menyebabkan beberapa pemimpin negeri tidak selesa dan beliau tidak boleh membuat keputusan kerana Anwar adalah suaminya.

No comments: