Tuesday, August 26, 2014

Pengkalan Kubor Mampu Elak PR Dari Berkubor


Tuan Ibrahim meletakkan batu bata sebagai simbolik upacara perasmian pecah tanah Komtaq.
TEMERLOH: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor akan datang dapat memperkukuhkan kembali gabungan Pakatan Rakyat (PR). 

“Mutakhir ini banyak isu-isu tercetus yang melibatkan masalah dalaman sesama gabungan PR sehingga harus diperkukuhkan kembali.

“Jadi dalam PRK ini biasanya semua pihak (dalam PR) akan buat tumpuan. Kita harapkan dengan tumpuan itu isu  soal titik bengik yang berlaku itu kita boleh atasi dan bersatu semula, insya Allah mudah-mudahan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian pecah tanah dan peletakan batu asas Kompleks Tahfiz Al-Quran dan Anak Yatim Al-Qardhawi (Komtaq) di Kampung Kuala Kerdau, dekat sini semalam. 

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, pada asasnya Pengkalan Kubor adalah kerusi milik PKR, bagaimanapun yang lebih penting PR menang kerusi tersebut dan PAS sendiri melalui jabatan pilihan rayanya akan turun membuat kajian ke arah kemenangan. 

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang kepada Komtaq. Sebahagian daripada mereka datang dari Selangor dan 10 buah bas. 

Komtaq yang terletak di atas tanah seluas tujuh ekar hasil wakaf penduduk, dipengerusikan oleh Ustaz Kamal Ashaari. 

Pada masa ini sedang dibangunkan pembinaan masjid. Kemudiannya akan dibina pula kompleks pendidikan, asrama pelajar dan kuarters guru yang apabila siap dianggarkan bernilai RM4 juta. -HARAKAHDAILY 25/8/2014

No comments: