Tuesday, August 19, 2014

Peserta Sukan Bogel Hidup Ketakutan

  • Laporan Sinar Harian 6 Ogos lalu.Laporan Sinar Harian 6 Ogos lalu.
 1 / 1 
GEORGETOWN - Selepas video pesta bogel di Teluk Bahang yang dimuatnaik dalam internet menjadi viral dalam laman sesawang, peserta yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu difahamkan hidup dalam ketakutan.

Salah seorang penganjurnya yang merupakan warga tempatan dan kini bermastautin di Singapura, menggambarkan kehidupan peserta yang terlibat berada dalam keadaan ketakutan setiap hari kerana mereka dilihat seperti seorang ‘penjenayah’.

“Kami tidak dapat tidur setiap hari kerana kehidupan kami tertekan, takut dan sedih. Juga kami dalam situasi cuba mengelak diri daripada semua pihak.
“Kami perlu berterima kasih kepada salah seorang kawan yang membantu mengambil langkah untuk menyerah diri. Tanpa tindakannya, saya fikir tidak ada rakan lain yang berani tampil untuk menyerah diri,” katanya dalam laporan yang dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin.

Cetusan perasaan penganjur pesta terbabit dikirimkan melalui emel kepada akhbar Kwong Wah Yit Poh di Pulau Pinang.

Peserta yang berusia 46 tahun itu berkata, mereka kemudian berbincang dan mengambil keputusan untuk menyerah diri bersama-sama.

“Kami ingin memohon maaf kerana mengadakan acara berkenaan di Pulau Pinang yang mencetuskan ‘ribut’ di Malaysia. Kami tidak akan mengulangi dan berharap permohonan maaf yang tidak terhingga kerana salah laku kami di Teluk Kampi memalukan negara.

“Kami sangat menghormati undang-undang di Malaysia,” katanya dalam emel berkenaan yang difahamkan turut dihantar kepada 13 rakannya yang lain.

Lelaki itu juga mendakwa bahawa akaun dalam laman web perkongsian video YouTube digodam dan dikongsi tanpa pengetahuannya.

Beliau juga sedang mempertimbangkan menyaman mereka yang memuatnaik klip untuk pelanggaran hak cipta.

Sementara itu, dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, pihak penganjur perlu meminta maaf kepada Taman Negara Pulau Pinang kerana di situ berlaku pesta sukan bogel.

Selepas video peserta sukan terbongkar dalam internet, polis memulakan siasatan mengenai kejadian itu yang diadakan di pantai Teluk Kampi pada 30 Mei.

Kelmarin, tiga peserta sukan bogel warga tempatan dilaporkan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Barat Daya termasuk seorang bekas guru dan ahli politik.

Pada 13 Ogos lalu, seorang juruvideo Singapura menyerah diri dan hari berikutnya seorang ahli peniagaan Malaysia juga difahamkan menyerah diri.

Kelima-lima suspek itu direman tiga hari mulai kelmarin. Tiga lagi rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam aktiviti itu sedang dikesan.

Polis menyiasat kes itu bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan mengenai kesopanan di tempat awam yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

No comments: