• N.SurendranN.Surendran
 1 / 1 
SHAH ALAM - PKR menafikan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kelmarin tidak spesifik dan menimbulkan keraguan.

Naib Presidennya, N Surendran menegaskan, dakwaan Adun Pelabuhan Klang itu nyata tidak berasas sebaliknya ia dilakukan mengikut prosedur selepas Abdul Khalid mengingkari keputusan parti berhubung pertukaran Menteri Besar Selangor.

"Abdul Khalid telah mengeluarkan kenyataan media pada 22 Julai lalu yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk mencalonkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.
"Surat tersebut memberi beliau peluang untuk menjelaskan tindakan beliau, seperti yang diperlukan keadilan asasi (natural justice).

"Tiada keperluan untuk menyatakan klausa spesifik dalam perlembagaan parti di dalam surat tunjuk sebab seperti yang didakwa beliau," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung PKR,  Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan dokumen 91 halaman kepada Pas dengan salinan kepada DAP yang menyenaraikan alasan utama parti itu untuk menukar teraju nombor satu negeri itu.

Dalam penjelasan itu, isu penyelesaian hutang Abdul Khalid dengan Bank Islam di luar mahkamah berjumlah RM59.9 juta telah menimbulkan keraguan munasabah apabila ia dipercepatkan selepas parti itu mengumumkan 'Langkah Kajang' pada 28 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Surendran menambah, sikap yang ditunjukkan Abdul Khalid yang enggan berundur dari jawatan adalah bercanggah dengan kebiasaan dan amalan demokrasi yang berasaskan parti politik di negara ini.

"Agak menakjubkan bila Abdul Khalid tetap enggan berundur walaupun selepas parti sendiri telah mengumumkan keputusan untuk menggantikan beliau.

"Pendirian beliau tidak terhormat, dan beliau wajib menerima keputusan parti dan meletakkan jawatan," katanya lagi.