KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor mempertingkatkan langkah keselamatan operasi pengepaman air kolam alternatif bagi membendung kejadian sabotaj berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awamnegeri, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kerajaan negeri mendapat kerjasama Polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang mengawal ketat operasi serta sentiasa bersiap siaga.
“Segala langkah mitigasi ini diselaraskan LUAS yang dilaksanakan dengan komitmen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB), MET dan beberapa agensi lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, tambahnya, kerajaan negeri berharap semua pihak dapat memberi kerjasama, tidak cuba sabotaj, mengganggu operasi ataupun cuba menimbulkan keresahan di kalangan pengguna.
Yunus juga meberitahu, status semasa kapasiti empangan sehingga 5 Ogos 2014 mencatatkan penurunan di antara 0.38 peratus sehingga 2.91 peratus.
Empangan Semenyih mencatatkan penurunan tertinggi 2.91 peratus diikuti Sungai Tinggi (2.16), Sungai Selangor (1.18), Tasik Subang (1.11), Batu (0.99) Langat (0.38) manakala Klang Gates kekal dengan kapasiti sama tanpa penurunan.
Bagi menjamin bekalan berterusan, Kerajaan Negeri terus mengambil langkah mitigasi termasuk pengurangan kadar pelepasan air Empangan Sungai Selangor kepada 700 juta liter sehari (JLH) dan Empangan Sungai Tinggi kepada 500 JLH.
Selain itu, operasi pembenihan awan juga dilakukan secara berterusan dengan kerjasama Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), dan syarikat AF Jet Sdn. Bhd di seluruh kawasan tadahan di Selangor.
No comments:
Post a Comment