Wednesday, August 27, 2014

PRK Pengkalan Kubor: Masa terbaik tuntut janji BN



TUMPAT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor menjadi masa terbaik bagi penduduk di Dun terbabit menuntut kerajaan BN menunaikan janji membina tebatan banjir yang sudah diabaikan.

Setiausaha Pertubuhan R Kelantan, Muhammad Hisyamuddin Ghazali berkata, tidak lama lagi penduduk Pengkalan Kubor bakal berhadapan dengan musim tengkujuh.

Katanya, projek tebatan banjir sudah lama dijanjikan, namun sehingga sekarang tidak menjadi kenyataan.

“Sedangkan setiap kali musim tengkujuh banjir melanda Pengkalan Kubor. Sedangkan di sebelah Thailand tebatan banjir sudah lama dibina,” katanya di sini.

PRK Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian Adunnya, Datuk Noor Zahidi Omar ketika menjalani rawatan di China pada 20 Ogos lalu.

Hisyamuddin berkata, projek tebatan banjir juga boleh mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan apabila dibangunkan secara sistematik.

Menurutnya juga Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) perlu menimbangkan semula cadangan membina jambatan menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Tak Bai (Thailand).

Kata beliau Ecer sepatutnya berperanan menumpukan pembangunan di Kelantan dan bukan hanya memfokus projek di Terengganu, Pahang dan Mersing sahaja.

Malah katanya, pantai Tumpat amat wajar diwujudkan terminal bagi mendaratkan gas dari North Malay Basin dari perairan Kelantan.

“R yakin dengan adanya PRK Pengkalan Kubor kerajaan pusat dan negeri tentunya akan mengambil perhatian bagi membangunkan pekan tersebut,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 27/8/2014

No comments: