Friday, August 8, 2014

Surat Lembaga Disiplin, Khalid akan jawab selesai solat hajat.

HUSS0442.storyimage
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa beliau akan menjawab surat arahan untuk hadir ke sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR sebelum pukul 10 pagi ini.

“Saya akan menjawab surat Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr.Tan Kee Kwong apabila program ini selesai,” ujarnya sewaktu ditemui media di program solat hajat perdana (Munajat selamatkan Gaza dan Selangor bumi bertuah) di kediaman rasminya malam tadi.

Menurutnya, buat masa ini, beliau enggan mendedahkan jawapannya kepada media.
“Jika saya beritahu jawapan saya sekarang, mereka (Lembaga Disiplin PKR) akan dapat tahu jawapan saya,” ujarnya.
Bahkan, beliau turut enggan menjelaskan sama ada beliau akan hadir atau tidak ke sesi pendengaran Lembaga Disiplin yang telah di jadualkan hari ini.
Pengerusi Lembaga Disiplin Datuk Dr.Tan Kee Kwong telah meminta beliau hadir ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bagi memberi kenyataan mengenai lima perkara berhubung isu peribadi dan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut Dr.Tan, ada lima perkara yang perlu Khalid perjelaskan kepada Jawatankuasa Disiplin PKR antaranya penstrukturan air Selangor, elaun baru Menteri Besar Selangor, kenaikan cukai bagi lesen perniagaan, cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan pinjaman beliau dengan Bank Islam.
“Lembaga Disiplin juga mencadangkan agar Khalid memberikan penjelasan hari ini sekiranya tarikh dan masa yang diberikan itu tidak bermasalah,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Khalid sebelum ini sudah membalas surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh PKR kepadanya berhubung dakwaan keingkaran beliau mematuhi keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu untuk meletakkan jawatan.
Dalam jawapan Khalid, beliau menganggap notis bertarikh 6 Ogos itu sebagai cacat, tanpa butiran relevan serta tidak memadai bagi membolehkan beliau untuk menjawab.
Khalid menulis, sekiranya sesuatu notis dikeluarkan, ia perlulah menyatakan secara terperinci semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya dengan menyatakan pelanggaran mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan parti yang telah beliau langgar.

No comments: