Tuesday, September 23, 2014

Ahli Pas perlu akur dengan arahan Hadi

  • Tuan Ibrahim Tuan ManTuan Ibrahim Tuan Man
 1 / 1 
BATU PAHAT – Ahli-ahli Pas perlu akur dengan teguran dan arahan yang dibuat oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui ucapan penangguhan Muktamar Pas kali ke-60 lalu.

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, teguran dan arahan Abdul Hadi itu perlu dilihat dari sudut positif bukannya negatif.

 “Ia sangat positif. Cuma ada teguran-teguran yang patut dibuat oleh Presiden kepada ahli (sesi penangguhan) . Sebagai ahli kita akur dengan teguran dan nasihat pimpinan kita.


“Kita harap daripada teguran itu, ia akan menguatkan lagi hubungan. Kita boleh ketepikan soal perbezaan pendapat dan sebagainya. kita akur dengan beberapa arahan Presiden,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurut Tuan Ibrahim, beberapa perkara berbangkit mengaitkan hubungan tahaluf siyasi dengan parti-parti komponen PR yang perlu diperbaiki akan diperbaiki.

“Ada teguran-teguran itu kita anggap positif. Tak boleh kita ambil negatif. Semua sayang PR. Presiden, ahli, perwakilan pun sayang PR.

“Cuma, dalam hubungan itu ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dan kita akan perbaiki,” katanya.

Sementara Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berpendapat, terpulang kepada pimpinan tinggi Pas untuk menanggapi segala teguran-teguran yang dibuat sepanjang muktamar berlangsung.

“Saya suka ada dinamik negatif dan positif (dalam muktamar). Barulah ada elektron keluar. Itulah kelebihan Pas, sebuah parti terbuka. Berani beri teguran dan pandangan kedua-dua segi.

“Jadi, terpulanglah kepada tiap-tiap pemimpin untuk mengambil inti sari nasihat-nasihat tersebut. Pada saya, itu semua memperkuatkan lagi Pas sebagai parti yang demokratik,” katanya.

Bagi AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan pula, walaupun terdapat beberapa perkara yang sepatutnya disentuh dalam perbahasan, namun muktamar kali ini disifatkan telah menyeluruh sepanjang ia berlangsung.

“Saya lihat mungkinlah ada satu dua perkara yang tertinggal dalam Ucapan Dasar (Presiden) yang dibahaskan. Tapi secara umumnya perkara-perkara penting itu sampai...dibahaskan.

“Kerana tema kepada Ucapan Dasar ‘terus beristiqamah’ yang dilontarkan itu pun saya lihat lebih untuk memastikan tiga perkara. Pertama,  keutuhan parti itu sendiri daripada keseluruhan pemimpin dan ahli biasa.

“Kedua, hubungan Pas dengan rakan-rakan parti tahaluf  (siyasi)yang lain. Ketiga, bagaimana kita mendepani isu-isu semasa sama ada dengan perkembangan terkini dan juga dengan parti-parti lawan dalam pentas politik tanah air. Secara keseluruhannya ia telah menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat pula berkata, hasil maklum balas pemimpin-pemimpin Pas menunjukkan bahawa tema Ucapan Dasar Presiden itu berjaya dicapai melalui perbincangan yang dibuat.

“Kalau kita lihat daripada semua jawapan-jawapan pimpinan utama tadi, kita dapat simpulkan bahawa terus istiqamah itu dapat (dicapai) melalui perbincangan yang dibuat.

“Kita harapkan semua ini akan bangkitkan semangat kerja di peringkat bawah parti ini untuk mendampingi masyarakat. Yang terdekat adalah di Pangkalan Kubor,” katanya.

Selain itu, Ketua Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusof menyifatkan muktamar kali ini merupakan muktamar paling matang di mana keterbukaan parti itu dalam menerima pandangan dan kritikan.

“Kita melihat keterbukaan Pas memberi ruang yang cukup luas kepada ahli untuk memberi komen, pandangan, cadangan. Walaupun gelombang di luar (mengatakan) Pas akan pecah dan sebagainya.

“Tapi nyata semangat kejituan dan kematangan yang ditunjukkan oleh pimpinan di atas bersama dengan kematangan perwakilan di bawah menunjukkan bahawa kita kembali bertaut malah lebih utuh lagi untuk terus berpegang dengan prinsip kita,” katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Kalau nak tukar tayar kereta yang pecah,jack kereta setakat tayar boleh di cabut jangan sampai jack kereta sampai kereta terbalik.itu saya masih ingat pesan tuan man Tuan ibrahim