Wednesday, September 3, 2014

Bailout MAS: Duit rakyat jadi mangsa


BAILOUT didefinisikan sebagai tindakan menyelamatkan sesuatu, seperti syarikat, organisasi atau kerajaan yang sedang mengalami masalah kewangan. Namun pada zaman ini di mana negara amat jarang bankrap kerana sentiasa boleh meminjam dan menambah hutang negara untuk ditanggung oleh rakyat serta generasi masa hadapan (seperti yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan Malaysia), kita lebih sering menggunakan istilah bailout sebagai tindakan kerajaan menyelamatkan sesebuah syarikat tertentu daripada muflis.


Lazimnya, hanya firma besar yang akan menerima bailout, dengan mengambil kira kepentingannya kepada sesebuah negara dan juga kerana ramai bilangan pekerjanya. Jadi jika anda hanyalah seorang penjual goreng pisang di tepi jalan atau peruncit kecil lalu mengalami masalah kewangan, anda akan tetap berseorangan.



Semasa krisis kewangan 2008-2009, kerajaan Amerika Syarikat telah menghabiskan lebih USD 700 billion bagi menyelamatkan firma seperti A.I.G., General Motors, Ford, Citigroup dan lain-lain.



Sebaik sahaja menerima bantuan USD 170 billion, A.I.G.  mengumumkan bonus berjumlah USD 165 juta untuk para eksekutifnya bersama percutian seminggu di Regis Resort, California dengan perbelanjaan  berjumlah lebih USD 440,000 (satu bilik berharga USD 1,000 untuk satu malam). Tindakan ini menimbulkan kemarahan umum di Amerika Syarikat sehingga akhirnya terpaksa dibawa ke kongres. Akhirnya pemberian bonus tadi dibatalkan.



Polisi yang hampir serupa dilaksanakan di Malaysia, dengan beberapa perbezaan, kerana kita sentiasa ada cara kita tersendiri.



Dasar Penswastaan



Semasa Tun Mahathir menjawat kedudukan Perdana Menteri, beliau telah memperkenalkan dasar pensyarikatan Malaysia dan penswastaan. Badan-badan yang asalnya milik negara diswastakan.



Itu yang tersurat



Yang tersirat, badan-badan yang asalnya milik negara yang menguntungkan diswastakan, kepada kroni-kroni dan kumpulan-kumpulan terpilih.



Asalnya, perusahaan tersebut milik negara, milik rakyat. Jika ia maju, maka rakyat untung. Jika rugi, sama-sama tanggung.



Malah dalam sesetengah keadaan, sebenarnya kerugian perusahaan terbabit pun tidak semestinya merugikan rakyat.



Contoh, jika harga petroleum dunia jatuh, rakyat akan mendapat faedah dengan harga minyak yang murah. Jika harga petroleum dunia naik, keuntungan syarikat kerajaan yang menguruskan petroleum boleh digunakan untuk memberi subsidi bahan api agar harga minyak kekal murah. Hasilnya, harga barangan tidaklah meningkat laju seperti sekarang.



Begitu juga jika harga beras di pasaran dunia jatuh, rakyat akan mendapat faedah dengan harga beras yang murah. Jika harga beras dunia naik, keuntungan syarikat beras kepunyaan kerajaan boleh digunakan untuk memberi subsidi agar harga beras kekal murah. Dalam masa yang sama, kebajikan pesawah padi juga boleh dijaga seandainya kerajaan membeli padi mereka dengan harga lumayan bukan berkiblatkan keuntungan semata-mata.



Namun sekarang apabila banyak perkara diswastakan, kelebihan sebegini hampir tiada lagi.



Penswastaan MAS



Malaysia Airlines (MAS) merupakan sebuah syarikat penerbangan yang perkasa pada zaman keemasannya. Disebabkan ia menguntungkan, maka ia diswastakan dan pada tahun 1993, ia dimiliki oleh Tan Sri Tajudin Ramli (Gambar) setelah membeli majoriti saham MAS.




Namun menjelang penghujung 1990-an, MAS mula mengalami kerugian. Pada tahun 2001, ia terpaksa dibailout oleh kerajaan Malaysia – kerajaan membeli semula saham-saham kepunyaan Tan Sri Tajudin Ramli.



Ya, memang tiada masalah jika kerajaan mahu menyelamatkan MAS demi menjaga aset dan maruah negara, seperti yang dijelaskan oleh Tun Daim Zainuddin, menteri kewangan pada waktu itu.



Yang menjadi persoalan ialah mengapa saham-saham tersebut dibeli pada harga asal. Harga asal saham MAS semasa ia dibeli oleh Tan Sri Tajudin Ramli pada 1993 ialah RM8.00 sesaham. Pada tahun 2001 selepas mencatat kerugian demi kerugian, nilainya menyusut kepada RM3.68 sesaham. 



Ikut logik, sepatutnya ia dibeli mengikut harga semasa, iaitu RM3.68. Tetapi anehnya, kerajaan Malaysia pimpinan Tun Mahathir membeli semula saham-saham itu daripada Tan Sri Tajudin Ramli pada harga asal, iaitu RM8.00, menggunakan wang rakyat berjumlah RM8 billion, lebih dua kali ganda daripada yang sepatutnya.



Kejanggalan ini telah dibincangkan secara terperinci dalam akhbar Harakah pada ketika itu, pada zaman internet masih baru dan media massa dikuasai oleh United Malays National Organisation.



Selepas itu, MAS menghadapi naik turun namun prestasinya terus merundum. MAS mencatat kerugian RM1.17 billion tahun lepas (jika dibahagi 365 hari, secara purata MAS rugi RM3.2 juta sehari), RM433 juta pada 2012 dan RM2.5 billion pada 2011.



Bailout cara Malaysia



Kini buat kesekian kalinya kerajaan persekutuan mahu bailout MAS dalam keadaan struktur pentadbiran dan polisi penganugerahan kontrak-kontrak dalamannya yang hanya menguntungkan golongan tertentu tetap dikekalkan. Persoalannya, sampai bila?



Jika sesebuah syarikat itu mencatat keuntungan dan memulangkan hasil kepada perbendaharaan negara, tiada siapa akan mempersoalkan.



Tiada siapa bersungut apabila Petronas memberi bonus setengah tahun gaji kepada kakitangannya, kerana Petronas untung besar (dan royalti minyak Kelantan belum dibayar dan harga minyak tetap naik). Tiada siapa merungut apabila TNB memberi bonus hampir setengah tahun gaji kepada kakitangannya pada akhir 2013, kerana TNB untung besar (tarif elektrik naik 20 peratus bermula Januari 2014).



Ironinya beberapa perusahaan tertentu lain, gaji dan bonus kepada eksekutifnya mahu dibayar lumayan setaraf firma-firma gergasi antarabangsa, tapi prestasinya jauh lebih terkebelakang berbanding perkhidmatan awam.



Dan apabila rugi, kerajaan bailout.



Akhirnya segala kepincangan dan salah urus ini membawa kepada situasi di mana jika syarikat maju, kroni untung, tetapi jika rugi, rakyat yang tanggung. Ini bailout cara United Malays National Organisation.



Harapan untuk MAS



Bagi kami rakyat biasa yang tidak belajar ekonomi secara mendalam, sampai sekarang cuma ada satu soalan: Apa masalah MAS? Bukan mudah bagi orang biasa untuk berniaga dan rugi ratusan juta ringgit setiap tahun berturut-turut.



Apabila kita meneliti MAS, didapati juruterbang, jurutera dan perkhidmatan kru kabinnya semua hebat-hebat belaka dan bertaraf dunia.



Yang tinggal cuma pengurusannya.



Sebab itu adalah penting agar pengurusan MAS dikendalikan oleh mereka yang benar-benar layak setaraf dengan gaji yang dibayar.



Batalkan kontrak-kontrak yang merugikan yang dianugerah kepada kumpulan-kumpulan tertentu, seperti kontrak katering selama 25 tahun bernilai RM6.25 billion – lamanya macam kontrak pajakan tanah atau pinjaman beli rumah.



Dan paling penting, biarkan MAS diurus secara profesional. Jauhkan daripada campur tangan politik.



Dengan pentadbiran yang telus dan jujur, barulah syarikat penerbangan negara dapat kembali ke zaman kegemilangannya. Jika tidak berubah, sampai bila-bila pun ia perlu tetap hidup dengan duit rakyat. – HARAKAHDAILY 3/9/2014

1 comment:

Anonymous said...

Bailout 6 billion yg di sapu x tahu brapa