PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyarankan sebarang usaha parti pembangkang terutamanya DAP untuk menarik anak-anak muda menyertai parti itu haruslah diberikan perhatian terutamanya oleh ibu bapa yang daripada ahli Umno.
Sebelum ini, Syed Ali menceritakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap menggulung perbahasan Persidangan Umno Bahagian Pekan mengakui, menjadi kepantangan beliau apabila mengetahui terdapat anak orang Umno yang terlibat dengan pembangkang menjadi calon seperti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
“Jangan sesekali ada anak orang Umno yang tidak jadi Umno. Saya pantang sangat bila mendengar ada orang macam Dyana Sofya. Mak Umno, bapa Umno, tetapi anak masuk DAP. Berbulu saya,” kata Najib.
Menurut Syed Ali, Najib meluahkan kebimbangannya kerana ramai anak-anak muda terjebak ke dalam dunia anti-establishment, menentang semua polisi dan dasar kerajaan sehingga sanggup memutarbelitkan segala fakta kebenaran berkaitan asal usul negara demi kerakusan untuk berkuasa.
“Golongan anti-establishment ini sanggup membuat cerita fitnah tentang kewujudan negara ini kerana sudah digula-gulakan golongan politikus yang mahu mempergunakan mereka bagi mendapatkan pengaruh di kalangan anak-anak muda.
“Pada hari ini saya melihat seolah-olah wujud trend DAP umpamanya memerangkap wanita-wanita muda Melayu menyertai parti itu semata-mata mahu mendapatkan pengaruh di kalangan anak-anak muda,” tulisnya dalam entri terbarunya di umnobahagiancheras.blogspot.com.
Tambah beliau, selepas mempertaruhkan Dyana Sofya sebagai calon PRK Parlimen Teluk Intan, seorang lagi gadis Melayu, Syefura Othman menjadi taruhan DAP. Malah gadis ini turut memberitahu antara sebab menyertai DAP kerana ia menyediakan ruang bersuara untuk wanita-wanita muda Melayu.
“Syefura Othman turut dipergunakan oleh DAP untuk bercakap mengenai tindakan kerajaan mahu menghapuskan Akta Hasutan 1948, walaupun perkara ini baru di peringkat perbincangan. Semasa menyerahkan borang ahli DAP, gadis ini turut berikrar akan menghapuskan status Melayu bumiputera.
“Bagi saya, kita tidak boleh menyalahkan wanita muda Melayu ini kerana mungkin ibu bapa mereka yang merupakan ahli Umno tidak menerangkan secara jelas tentang misi dan matlamat perjuangan parti ini.
“Ibu bapa kena menerangkan kepada anak-anak hanya Umno yang mampu memartabatkan nasib orang Melayu dan bumiputera supaya menjadi bangsa yang dihormati dan disegani di negara ini,” jelasnya.
Katanya lagi, apa yang menghairankan Syed Ali, golongan anak-anak dan wanita muda anti-establishment merupakan golongan yang tidak pernah melalui zaman kepayahan dalam kehidupan dan mendapat pendidikan melalui biasiswa kerajaan.
“Malangnya selepas masuk pusat pengajian tinggi maka mulalah mereka ‘menggigit tangan yang memeberi’ dan menganggap seolah-olah kerajaan tidak pernah membantu mereka,” ujarnya.
Syed Ali juga berkata beliau tidak mahu lebih ramai ‘Dyana Sofya’ dilahirkan oleh DAP bagi memancing sokongan anak-anak muda agar menyokong perjuangan parti itu.
“Masalah anak-anak muda terjebak dalam politik anti-establishment ini boleh dicegah jika anggota Umno dapat memberikan gambaran sebenar kepada anak-anak muda ini apa akan berlaku kepada masa depan agama, bangsa, institusi raja-raja dan negara kalau parti tidak lagi berkuasa di negara ini,” katanya
No comments:
Post a Comment