Thursday, September 25, 2014

Exco: PKR Selangor Tunggu Keputusan Pimpinan


  • Ketua Penerangan PKR Selangor,Shuhaimi Shafie Ketua Penerangan PKR Selangor,Shuhaimi Shafie
 1 / 1 
PKR Selangor menyerahkan keputusan memilih calon Exco kepada pucuk pimpinan parti seperti ditentukan pada mesyuarat petang semalam.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat siapa yang bakal dilantik tetapi percaya barisan yang terpilih adalah terbaik.

“Cadangan nama Exco ditentukan oleh parti dan saya tiada maklumat mengenainya.  Mungkin hari ini (semalam) agaknya selepas mesyuarat kita akan tahu.


"Kuasa melantik Exco adalah kuasa menteri besar dan saya percaya beliau akan cari satu pasukan mantao bagi membantu  melancarkan kerja-kerja pentadbiran negeri,” katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), sebelum menghadiri mesyuarat khas membincangkan status tanah di Selangor yang tertangguh sejak 2008, semalam.

Beliau menaruh kepercayaan mana-mana -pemimpin dalam PR yang dilantik ke jawatan itu kelak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai satu pasukan.

“Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing yang mana kita boleh menggarap idea daripada semua Adun daripada semua parti dalam PR untuk mencari satu keputusan lebih baik dan mantap.

‘Ia juga untuk memastikan semua yang diimpikan PR melalui manifesto PRU yang lalu dapat kita terjemahkan untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik menjadi Exco,  beliau berkata, ia boleh berlaku sekiranya menteri besar memutuskan sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, semua pelantikan yang dibuat Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Ini bergantung pada keputusan parti jika ia kehendak parti maka Wan Azizah akan menjadi Exco, kenapa tidak. Tetapi apa pun saya percaya keputusan akhir akan ditentukan selain menteri besar sudah tentu yang utama perlu mendapat perkenan sultan. Kalau itu tak lepas, maka tak bolehlah jadi Exco,” katanya.

No comments: