Thursday, September 25, 2014

Wan Rosdi Lawat Tempat Mengundi, Suasana Terkawal




TUMPAT: Suasana tempat pengundian pagi ini agak terkawal biar pun berlaku sedikit ketegangan di tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Simpangan apabila perayu undi wanita Umno berada di pintu masuk tempat pembuangan undi.

Bantahan dibuat Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof memandangkan wanita terbabit memakai lambang dacing.

Pasukan peguam PAS membuat bantahan kepada pihak pengurus pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Sehingga pagi ini Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengiringi calon Pakatan Rakyat, Wan Rosdi Wan Ibrahim ke lima tempat mengundi iaitu Bendang Pak Yong, Teluk Jering, Bunuhan, Simpangan dan Pengkalan Kubor 2.

Menteri Besar tiba di rumah Wan Rosdi di Bendang Pak Yong kira-kira jam 7.30 pagi sebelum calon keluar membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong.

Turut serta mengiringi calon Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob dan Timbalan Speaker, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Suasana masih lagi terkawal dengan kehadiran ramai penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

Jalan utama utama ke Pengkalan Kubor sesak teruk sejak malam tadi.

Manakala di Sekolah Kebangsaan Sri Neting sudah ramai masyarakat Siam keluar membuang undi seawal jam 8 pagi.

Hampir kesemua pengundi di tempat mengundi tersebut ialah pengundi masyarakat Siam dari Kampung Jubakar Darat dan Mertua. -HARAKAHDAILY 25/9/2014


No comments: