Tuesday, September 2, 2014

Gelar KPN binatang memang biadap

  • Zaman KhanZaman Khan
 1 / 1 
SHAH ALAM - Perbuatan individu yang mencerca Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan kata-kata kesat di laman Twitter disifatkan terlalu biadab dan patut dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan laman sosial itu.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata, individu yang menggunakan laman sosial untuk memaki hamun dan mencerca orang juga tidak matang.

“Seharusnya pengguna laman sosial tahu etika yang perlu mereka jaga, bukan untuk membangkitkan kemarahan mana-mana pihak,” katanya, semalam.


Kelmarin,  pemilik akaun yang menggunakan nama Nasrul Omar, menulis di Twitter dengan kata-kata makian terhadap Khalid.

Twitter itu ditulis dipercayai susulan penahanan 154 ahli Unit Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang oleh pihak berkuasa pada Ahad.

Selain Nasrul, seorang lagi pengguna Twitter menggunakan nama Viktor Wong turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada PDRM dan menyamakan Khalid seperti pemerintahan Nazi di Jerman.

Susulan dua kenyataan biadab itu, Khalid menerusi Twitternya telah mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis PDRM supaya mengenal pasti individu di sebalik dua akaun Twitter berkenaan untuk dikenakan tindakan.

Menurut Zaman Khan, setiap tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa berdasarkan tuntutan undang-undang serta aduan orang ramai dan bukannya atas kepentingan peribadi.

Sementara itu, beliau turut mengecam tindakan sesetengah pemimpin yang turut menggunakan media sosial untuk menyemarakkan api kemarahan orang ramai sehingga boleh mengganggu gugat keamanan negara.

“Saya lihat ada beberapa pemimpin yang cuba untuk membangkitkan rasa tidak senang dan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Ingatlah tulisan anda sama ada di laman sosial atau di media itu boleh mencetuskan huru-hara jika tidak dibendung,” katanya.

Tegas beliau, selaku pemimpin masyarakat, setiap kata-kata yang diungkapkan di laman sosial perlulah beradab.

“Jangan sampai kurang ajar. Malaysia ini sebuah negara yang tiada tandingannya dalam soal toleransi. Kita hormat antara kaum, agama dan budaya.

“Fahamilah apa yang termaktub dalam Perlembagaan, jangan menyentuh perkara-perkara yang boleh menggugat kestabilan tanah air ini,” katanya.

No comments: