Friday, September 19, 2014

Henti ulas beza pendapat dengan presiden - TG Haron Din


BATU PAHAT: Timbalan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Dr Haron Din mengarahkan agar sebarang ulasan terhadap isu berkaitan perbezaan pendapat beberapa pimpinan dengan Presiden PAS, dihentikan serta merta.

Bercakap sewaktu menyampaikan taujihat sebelum perbahasan Ucapan Dasar Presiden petang ini, beliau menegaskan isu itu tidak perlu dibangkit lagi dalam perbahasan selepas daripada ini.

Mengakui isu itu menyebabkan keadaan muktamar hari ini menjadi panas, maka ujarnya tidak perlu lagi menambah panas dalam isu tersebut bagi mengelak keadaan lebih buruk.

"Daripada semalam hingga ke hari ini saya rasa menyampaikan mesej muktamirin kepada pemimpin sudahpun sampai.

"Maka saya nak mengarahkan supaya isu itu berenti setakat itu sahaja, orang lain yang akan bercakap isu itu tutup.

"Kalau itu boleh kita patuh, saya rasa keadaan akan tenang balik dan jangan dipanaskan lagi  takut jadi semua tidak baik," katanya sambil menambah isu itu sudah dipertegas akan diulas oleh pimpinan pada sesi penggulangan nanti.

Pagi tadi , Muktamar Tahunan PAS ke-60 yang masuk hari kedua hari ini sedikit panas selepas beberapa perwakilan 'menembak' beberapa pimpinan yang didakwa tidak 'sebulu' dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ianya dipanaskan lagi dengan insiden perbahasan dalam bentuk doa munajat oleh wakil Wilayah Persekutuan yang turut membidas beberapa individu khususnya yang berkait dengan isu kemelut Menteri Besar Selangor.

Insiden tersebut mengundang rasa tidak selesa dari beberapa perwakilan sehingga salah seorang dari mereka bangun dan mendesak pengerusi tetap menetapkan peraturan perbahasan muktamar.

Pengerusi tetap bagaimanapun berjaya meredakan keadaan sebelum perbahasan disambung semula pada sesi petang ini. -HARAKAHDAILY 19/9/2014

No comments: