Saturday, September 20, 2014

Isu alam sekitar mampu tarik pengundi

BATU PAHAT: Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat berpendapat isu alam sekitar turut menjadi peranan utama dalam menarik pengundi untuk menyokong mana-mana parti pada setiap kali pilihan raya.

Pengerusinya, Zulkefli Mohamad Omar memberitahu dalam menarik pengundi, PAS setiap negeri perlu menubuhkan Lajnah Alam Sekitar.

"Kita perlu sedar alam sekitar juga mampu menarik sokongan pengundi kepada kita, sebab isu alam sekitar sebenarnya mempunyai hubung kait terus dengan pengundi," katanya.


Tambahnya, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ditubuhkan juga kerana isu alam sekitar yang melibatkan penduduk di Broga.

"Isu alam sekitar bukan sahaja membabitkan soal kesihatan tetapi juga membabitkan pembaziran wang rakyat dan ini yang sedang berlaku dalam negara ini terutamanya pembinaan insinerator," ucap beliau pada sesi ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-60 di sini, pagi ini.

Beliau yang turut meminta agar PAS Sarawak memberi fokus dalam isu alam sekitar bagi persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

"Sarawak mempunyai banyak masalah dalam soal alam sekitar, isu pembalakan, pencemaran air atau pun punca air bersih. Kita perlu kumpul segala maklumat ini untuk persediaan kita mencari jalan penyelesaiannya," katanya.

Tambah beliau, satu perbincangan akan diadakan pada peringkat PAS Pusat bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu alam sekitar.

"Kita kena fikir sekarang untuk mencari jalan penyelesaian, siapa pun memerintah isu sampah mahupun alam sekitar akan dihadapi.

"Jadi PAS perlu bersedia lebih awal untuk penyelesaian masalah ini. Kita akan pastikan pemerintahan PAS yang terbaik dalam isu alam sekitar," ucap beliau lagi. - HARAKAHDAILY 20/9/2014

No comments: