Saturday, September 20, 2014

Walau dibubar, peguam Luham tetap bantu PAS


BATU PAHAT: Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat Hanipa Maidin menegaskan, pihaknya bersedia sekiranya lujnah itu dibubarkan ekoran kenyataan mereka yang dilihat sesetengah pihak sebagai 'mempertikai' Majlis Syura Ulamak PAS.

Bercakap sewaktu sesi penggulungan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini hari ini, beliau berkata, apapun yang berlaku, pihaknya akan terus komited untuk membantu pimpinan dan ahli PAS dalam isu perundangan.

"Ada mintak Luham dibubarkan. Saya tidak ada masalah dan saya sokong.

"Kami tidak perlukan nama. Hatta, kami tetap akan bantu pimpinan dan ahli dalam isu-isu perundangan," tegasnya.

Penegasan itu dibuat sebagai respons kepada soalan dari perwakilan yang mempersoal bidang kuasa Luham yang dilihat seperti telah mengambil kuasa Majlis Syura Ulamak dan ke arah menjadi badan hisbah parti.

Persoalan itu timbul ekoran kontroversi kenyataan mereka sebelum ini terhadap Majlis Syura Ulamak yang  berkait dengan penafsiran perlembagaan terhadap bidang kuasa Presiden PAS.

Mengulas lanjut berhubung kenyataan kontroversi itu, Hanipa berkata Luham berbuat demikian atas tanggungjawab sebagai lujnah yang berperanan dalam memberi pandangan berhubung soal perundangan melibatkan parti.

"Kami tidak melampaui dan tidak mengambil kuasa Majlis Syura PAS," katanya sambil mengakui beberapa individu di dalam Luham termasuk beliau sendiri dikecam hebat ekoran kontroversi kenyataan itu.Penjelasan oleh beliau hari ini juga masih mengundang rasa tidak puas hati sesetengah perwakilan dan pemerhati sehingga menuntut Timbalan Pengerusi Tetap menenangkan suasana. -HARAKAHDAILY 20/9/2014

No comments: