Thursday, September 11, 2014

Jangan kita hancur kerananya


PADA waktu iklim politik dalaman yang dilanda gelora, sedar tidak sedar kita sebenarnya sedang berhadapan dengan perubahan iklim global yang kesannya terlalu dahsyat. Bukan saja kebanyakan daripada pimpinan politik Pakatan Rakyat, bahkan kebanyakan daripada masyarakat ambil sikap acuh tidak acuh sahaja berkenaan perubahan iklim sebenar ini.

Pemanasan global, pencemaran air di sana sini dan pelbagai kerosakan yang melanda dunia hari ini begitu sekali meruntun perhatian seluruh pimpinan masyarakat dan orang awam. Namun amat mendukacitakan bila mana isu ini lebih dilihat sebagai isu terpencil dan hanya ditangani oleh kelompok-kelompok yang dilabel pencinta alam.

Buat permulaan dalam ruangan ini, ingin saya mengutarakan kebimbangan pelbagai pihak terhadap adanya kecenderungan negara-negara sedang membangun membina dan meluaskan penggunaan neuklear. Hal ini tidak terkecuali kepada Malaysia.

Teknologi neuklear yang dikatakan begitu menjimatkan sedang diusahakan untuk dibangunkan oleh negara-negara terbabit. Bahkan pada waktu penulisan ini dibuat, Jepun yang telah menjadi mangsa kepada teknologi ini turut mengaktifkan semula reaktor-reaktor yang selama ini dibiarkan.

Bagi orang awam, yang perlu difahami tentang penjimatan yang dikatakan tersebut yang sebenarnya mengorbankan kelestarian alam? Mari kita umpamakan tenaga neuklear dalam pelbagai bidang kepada fungsi makanan kepada manusia itu sendiri.

Setiap dari kita memerlukan makanan untuk menghasilkan tenaga. Saban masa kita akan terasa lapar dan perlukan makan dan minum untuk memulihkan tenaga yang hilang. Apa kata kalau ada satu teknologi yang membolehkan kita makan sekali dan bertahan untuk tempoh masa yang lama, mungkin sehari atau seminggu?

Bukankah itu suatu penjimatan? Kita tak perlukan masa untuk memproses makanan, tidak perlukan banyak masa untuk makan dan begitu juga tidak perlukan banyak masa untuk berulang-alik ke tandas selepas makan atau kenyang.

Itulah perumpamaan tenaga neuklear jika dipadankan dengan tubuh badan manusia. Sikit tenaga yang digunakan mampu menghasilkan tenaga yang begitu hebat. Dalam misalan yang diberi, cukup seseorang itu makan sekali dan bertahan dalam tempoh yang masa mengikut teknologi yang dihasilkan.

Namun kehebatan teknologi ini dituruti dengan hambatan yang lain pula, terdapat dua proses yang perlu diambil perhatian. Pertama apakah yang berlaku dalam proses penyediaan tenaga (makanan dalam contoh yang diberi) dan keduanya apa yang berlaku sebaik tenaga dihasilkan (peringkat perkumuhan sebaik tenaga dalam badan hilang dalam contoh yang diberikan)?

Berbalik kepada penghasilan dan penggunaan neuklear, bahan bakar yang mengurai uranium dan sisa-sisa penguraian selepas tenaga dihasilkan memerlukan pengorbanan alam. Ia juga membabitkan kos yang amat tinggi meskipun ia menghasilkan kekuatan tenaga yang amat hebat.

Dalam contoh manusia yang diberi tenaga yang boleh bertahan tanpa makan, pengorbanan alam ditagih bagi menghasilkan makanan tersebut dan najis yang  dikeluarkan kemudian dari itu.

Sisa-sisa neuklear ini terlalu lama untuk dilupuskan. Ia menjangkau 100 tahun sebelum dilepaskan ke perut bumi. Apakah kita rela untuk menanggung kos yang terlalu tinggi dan pengorbanan yang amat besar untuk itu?

Apatah lagi pada ketika ini telah banyak penghasilan tenaga-tenaga yang boleh diperbaharui. Kita masih belum sepenuhnya menerokai keupayaan tenaga air atau hidro bagi menghasilkan tenaga yang diperlukan.

Seperkara yang perlu diingat, Malaysia adalah tanah semenanjung. Kedudukan ia yang terletak di penghujung jajaran Titiwangsa mesti diberi perhatian.

Kita tidak punyai tanah yang luas seperti negara-negara di benua Eropah atau India. Dengan keadaan bumi yang dikelilingi air, Malaysia harus mengkaji manfaat yang boleh diambil sambil mengelak kemudaratan yang mungkin terhasil bila bumi yang kecil ini dirosakkan.

Bagi pendokong Islam yang berada dalam Parti Islam Semalaysia, perkara ini tidak harus dipandang sepi. Terlalu banyak ingatan dalam al-Quran dan baginda Rasul Allah SAW untuk bumi ini dipelihara. Islam telah cukup memperingatkan manusia supaya tidak melakukan kerosakan di bumi ini.

Demikianlah janji-janji Allah SWT bahawa Rasul Allah SAW adalah rahmat kepada seluruh alam. Terpulanglah kepada kita untuk beramanah atau khianat kepada intipati al-Quran dan Sunnah tersebut. – HARAKAHDAILY 11/9/2014

No comments: