Sunday, September 21, 2014

Jangan sampai PAS dituduh retorik - Mazlan



BATU PAHAT: PAS digesa agar terus bersama rakyat dalam permasalahan yang mereka hadapi secara jujur sebelum dituduh sebagai retorik.

Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, jika PAS berasa selesa dalam kedudukan sekarang tetapi mengabaikan rakyat yang memerlukan ia merupakan kegagalan.

"Kita sebenarnya gagal dalam perjuangan jika terus mengabaikan rakyat yang memerlukan perhatian kita terutamanya dalam soal kebajikan mereka.

"Jangan sampai kita dituduh retorik hanya sekadar cakap tetapi gagal pada pelaksanaannya," ucap beliau pada sesi penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke 60 tahun dekat sini, semalam.

Mazlan menekankan melalui lajnahnya itu akan terus memperjuangkan isu rakyat terutamanya membabitkan isu tanah rizab Melayu termasuk golongan peneroka dan Orang Asal.

"Pada sesi parlimen akan datang kita melalui Ahli Parlimen Peguam akan membawa usul mengenai tanah rizab Melayu ini kerana sehingga sekarang tidak ada akta untuk menjaga tanah rizab Melayu termasuk kampung warisan.

"Perkara ini telah kita bincang dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz termasuk menyerahkan memorandum tetapi sehingga sekarang tidak apa-apa maklum balas.

"Atas perkara itu kita bawa isu ini ke parlimen untuk penjelasan dari kerajaan tantang akta untuk memelihara tanah rizab Melayu serta Kampung Warisan," ucap beliau pada sesi penggulungan.

Tambahnya, Lanjah Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal akan membentuk satu jawatankuasa khas (task force) di peringkat Pakatan Rakyat bagi memperkasakan lagi hak kebajikan rakyat dalam fungsi utama lajnah.

"Jangan kita lupa rakyat mengharapkan Pakatan Rakyat untuk membela mereka, harapan mereka perlu kita penuhi.

"Jika ini kita tidak lakukan, abaikan mereka bagaimana kita ingin memdapat perhatian mereka pada pilihanraya yang akan datang," sambung beliau lagi. - HARAKAHDAILY 21/9/2014

No comments: