Wednesday, September 17, 2014

Nafi beri cuti untuk menang

  • Calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim (tiga, kiri) meluangkan masa minum pagi di Restoran Immi, Kampung Talaga Bata, semalam.Calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim (tiga, kiri) meluangkan masa minum pagi di Restoran Immi, Kampung Talaga Bata, semalam.
 1 / 1 
TUMPAT – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan pemberian cuti kepada rakyat Kelantan pada 25 September ini bertujuan menjamin kemenangan kepada Pas dalam PRK Pengkalan Kubor.

Menurutnya, keputusan pemberian cuti dibuat bagi menyuburkan semangat demokrasi dan memudahkan pengundi menjalankan hak mereka.

“Cuti atau tak cuti tak menentukan menang atau kalah. Kalau nak kalah buat hari cuti pun kalah juga.


“Cuma cara kita suburkan demokrasi dan beri peluang kepada rakyat untuk mengundi, tidak kira pengundi Pas atau Umno,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi pada hari cuti walaupun teguran telah dibuat.

“Sebab itu Pas selalu menegur SPR, kalau nak tetapkan hari penamaan calon dan pengundian perlu mempertimbangkan hari cuti supaya mudahkan pengundi dan petugas pilihan raya jalankan tugas mereka.

“SPR patut mencetuskan semangat untuk orang mengundi, patut pilih hari cuti. Ini sengaja pilih hari tak cuti seolah-olah menghalang dan cuba untuk nafikan ruang pengundi menunaikan tugas mereka dalam sebuah negara demokrasi," katanya.

Menurutnya, tindakan SPR itu memaksa kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk mengisytiharkan cuti bagi memastikan peratusan keluar mengundi meningkat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pengisytiharan cuti pada hari mengundi bukan pertama kali dilaksanakan.

“Ini bukan kali pertama. Kerajaan Pulau Pinang, kerajaan negeri lain pun pernah isytihar cuti pada hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja.

“Secara tidak langsung, kita ini membantu tugas SPR dan fungsinya untuk menggalakkan ramai rakyat Malaysia keluar mengundi,” katanya.

No comments: