Friday, September 12, 2014

Pas jangan kritik sesama sendiri

  • Parti PASParti PAS
 1 / 1 
IPOH – Pemimpin Pas diminta untuk tidak menyuarakan ketidakpuasan hati dan mengkritik secara terbuka antara satu sama lain.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, setiap pemimpin termasuk ahli parti menggunakan saluran yang betul bagi menzahirkan pandangan kepada parti.
“Gunakanlah semangat musyawarah sebagai saluran yang betul bagi melahirkan pandangan kepada parti dan ahli juga disarankan tidak menjadikan sumber-sumber yang tidak ada autoriti, media massa selain daripada sumber dari parti untuk mendapat sebarang maklumat.

“Jentera parti di semua peringkat perlu terus melaksanakan agenda sebagaimana yang telah dirancang dan Pas Perak tetap berdiri teguh kepada parti dan presiden serta percaya beliau mampu menyelesaikan permasalahan ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, selagi pimpinan dan ahli Pas memelihara adab-adab berjemaah, krisis yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya.

“Sebagai ahli Pas, kita wajib menghormati Presiden sebagai pemimpin utama dan juga menghormati institusi tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Pas.

“Namun, dalam masa yang sama kita juga sangat menyayangi pimpinan-pimpinan Pas yang lain dan kita harap semua ahli dapat bersabar serta bertenang dalam hal ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar tiada ahli Pas yang mengambil kesempatan dari isu yang sedang melanda bertindak sebagai penghukum dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kurang enak didengar.
“Krisis yang berlaku ini pasti ada hikmah dan rahsianya, kita hanya hamba ALLAH SWT yang kerdil dan jahil akan luasnya rahsia ALLAH SWT.

“Berilah kepercayaan kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama dengan pimpinan Pas yang lain mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut ini dan mempertautkan kembali bibit-bibit yang boleh mengundang perpecahan,” katanya.

Kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor masih belum ada titik noktah apabila hanya Pas yang menghantar 3 nama calon sementara PKR dan DAP masih mengekalkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal.

Jumaat lalu, Hadi berkata tindakannya menghantar lebih dua nama calon kepada pihak istana sebagai menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mahu memudahkan baginda membuat pemilihan calon yang sesuai.

Bagaimanapun, tindakan Hadi itu dikritik PKR dan DAP sebagai tidak menghormati semangat setia kawan antara tiga parti pembangkang itu.

Pada 27 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah supaya parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih 2 nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.

No comments: