Friday, September 12, 2014

Sabotaj Muhyiddin, Umno ada masalah dalaman


KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menolak kemungkinan beliau disabotaj ekoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor, menunjukkan Umno kini sedang dilanda masalah dalaman, demikian tegas Ajk PAS Pusat, Idris Ahmad.

Menurut Idris, tindakan sabotaj itu juga memberi gambaran masalah dalaman Umno kini semakin serius sehinggakan ungkapan itu sendiri terkeluar daripada Muhyiddin.

"Masalah dalaman Umno nampak semakin serius, tiba-tiba Muhyiddin sendiri yang keluarkan kenyataan menyebabkan beliau jadi seperti itu. Ertinya beratlah masalahnya," kata beliau kepada Harakaahdaily.

Malah Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku kerana perbuatan itu mengundang keresahan ibu bapa, guru apatah lagi murid-murid yang menduduki peperiksaan tersebut. 

"Kasihan anak-anak mereka dah lama tunggu saat-saat 'merdeka' tiba-tiba terpaksa ambil peperiksaan sekali lagi akhir bulan ini, perancangan mereka rosak tambah lagi minggu depan cuti sekolah," katanya. 

Justeru, semangat kejujuran dan integriti yang tinggi semakin terhakis bukan sahaja di peringkat atasan bahkan di peringkat bawahan.

Seramai 473,175 calon UPSR seluruh negara akan menduduki semula peperiksaan Bahasa Inggeris dan Sains pada 30 September nanti, ekoran soalan kedua-dua kertas itu didapati bocor semalam.

Ekoran insiden yang berlaku, Muhyiddin yang berada di luar negara melahirkan rasa marah dan tidak menolak itu perbuatan sabotaj. 

Sebuah jawatankuasa bebas berprofil tinggi ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu. – HARAKAHDAILY 12/9/2014

No comments: