Wednesday, September 17, 2014

Pemuda: Menuju politik harmoni dengan ilmu, hujah



KOTA TINGGI: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan Gagasan Politik Budiman yang disuarakan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat seharusnya menjadi topik perbahasan perwakilan bagi mencetus idea kepada suasana politik yang lebih harmoni.

Beliau yang hadir pada Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-55 berkata idea gagasan politik budiman akan dapat membawa suatu fenomena politik yang amat sesuai dengan minat dan cita rasa anak-anak muda Malaysia pada hari ini.

"Idea baru disuarakan Pemuda kali ini, kita perlu tinggalkan politik sempit, tinggalkan politik kotor, tinggalkan politik perkauman.

"Kita menuju kepada suatu politik baru yang harmoni, budiman berasaskan kepada ilmu dan hujah. Inilah yang saya rasa sangat ditunggu oleh anak muda hari ini," katanya yang ditemui di luar dewan muktamar di Dewan Choon Moi di sini.

Beliau turut berpandangan politik budiman ini dapat memimpin masa depan anak-anak muda Malaysia dan ia bukan sahaja dapat memberi nafas baru kepada Pemuda PAS tetapi turut menyumbang kepada suasana politik lebih bertanggungjawab untuk negara pada masa akan datang.

Suhizan dalam ucapan dasar berkata Pemuda PAS merasakan wujud kecenderungan anak muda yang menolak politik kerana meluat dengan sebahagian ahli politik yang tidak mencerminkan kualiti yang diharapkan termasuk di dalam Pakatan Rakyat.

"Biarpun golongan ini tidak gembira dengan gelagat sesetengah ahli politik, ini bukan bermakna mereka tidak terlibat dalam proses politik.

"Kajian mendapati bahawa anak muda Malaysia semakin terbabit dengan proses politik di negara kita walaupun tidak begitu berminat untuk menyertai satu-satu parti politik.

"Menyedari realiti ini, Pemuda PAS mahu menggagaskan 'Politik Budiman' sebagai pendekatan dan orientasi politik di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat dengan konsep berbudi, berakal dan bijaksana," ucap beliau. - HARAKAHDAILY 17/9/2014

No comments: