Wednesday, September 10, 2014

Pemuda PAS Pun 'Sembah' Hadi, Konon Cari Jalan Terbaik


KRISIS MB Selangor ini besar cabarannya. Benar kata Tuan Guru Presiden, ada yang mabuk kerananya. Hasilnya berlakulah perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Parahnya bila muncung senapang dihalakan sesama sendiri sedang rakyat menyaksikan dengan hati yang luluh.

Saya yang dari awal cuba mengambil pendekatan agar tidak terjebak terlalu jauh dalam krisis ini turut dipandang serong sesetengah pihak kerana kononnya tidak mempertahankan Tuan Guru Presiden. 

Langkah yang saya dan pemuda ambil adalah demi kelangsungan perjuangan masa hadapan. Agar masih ada pihak yang dapat menyatukan kembali di saat gelora ujian sampai penghujungnya nanti. Justeru saya lebarkan jurang perdamaian ini kepada pemuda Pakatan Rakyat.

Doa Tuan Guru Presiden di awal ucapannya di Terengganu baru-baru ini memberi satu mesej jelas betapa beliau turut tersepit dengan krisis ini. 

Sewaktu saya dan beberapa sahabat pimpinan pusat menziarahi beliau melahirkan kebimbangan tentang krisis ini, beliau menyatakan dirinya jauh lebih bimbang dan sedang merancang penyelesaian terbaik.

Atas apa faktor yang saya pun tidak ketahui (dan mungkin tak perlu pun saya ketahui) beberapa langkah Tuan Guru Presiden menjadi kontroversi yang mengundang kritikan ramai. Beberapa pimpinan PR yang menyerang beliau. 

Ada sesetengahnya saya hubungi agar menghentikan serangan demi masa hadapan PR. Untuk menjawab di media saya tiada maklumat yang lengkap dan bimbang boleh mengganggu perancangan Tuan Guru Presiden, maka saya teruskan dengan agenda politik damai anak muda Malaysia.

Kini krisis masuk fasa yang baru. Sultan murka kepada PKR dan DAP. Mungkin ini yang berada di pemikiran Tuan Guru Presiden dari awal. Mengelakkan pertembungan dengan istana sementelah PAS adalah sebuah parti yang amat dekat dengan orang melayu.

Krisis ini sudah terlalu lama. Rakyat akan bertambah bosan dan muak jika masih ada usaha mengheret krisis ini tanpa penghujung. 

Saya nasihatkan PKR dan DAP untuk akur sahaja dahulu dengan siapa yang sultan lantik sebagai MB selagimana ia dari Pakatan Rakyat. Pulihkan kembali muafakat kita. Kembali ke meja rundingan. Susun kembali strategi untuk menguasai suasana politik yang berkecamuk ini.

Kembalikan kestabilan politik Selangor agar Umno tidak dapat mengambil peluang. Dengan itu saya mengharapkan adanya cahaya di hujung terowong gelap ini. - HARAKAHDAILY 10/9/2014


No comments: