Thursday, September 4, 2014

Pensyarah didakwa, kegagalan transformasi politik PM?



1. Ketika Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri meraikan para akademik di Majlis Anugerah Akademik Negara 2013 semalam, seorang pensyarah undang-undang Universiti Malaya didakwa di bawah Akta Hasutan 1948. Autonomi kesarjanaan para ahli akademik di negara ini tidak seimbang dan mungkin berlaku kongkongan secara halus.

2. Peranan ahli akademik di negara ini seharusnya dibugar untuk mencambahkan kematangan rakyat menerusi perspektif ilmiah secara adil. Malah, kajian-kajian mereka bukan hanya disukat dalam parameter KPI universiti untuk kenaikan pangkat semata-mata dan memenuhi keperluan personal, sebaliknya ia harus menjadi platform yang subur untuk membina ketamadunan negara.

3. Sebagai contoh, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) berkata pada 18 Ogos yang lalu, universiti di negara ini lebih menumpukan kajian akademik untuk kepentingan pengajian berbanding penyelidikan mengenai dasar-dasar ekonomi yang memberi impak kepada negara. Ketidakseimbangan ini mungkin akan membawa negara atas justifikasi perhitungan politik yang populis berbandingpolicies based research.

4. Apatah lagi jika ahli akademik menyuarakan sesuatu isu yang tidak selari dengan kehendak kerajaan. Bersediakah kerajaan untuk membuka peluang lebih luas kepada ahli akademik untuk mengkritik secara konstruktif hal ehwal politik yang berlaku di negara ini? Setakat ini, seramai tiga orang ahli akademik dikenakan tindakan yang dipercayai berlaku campur tangan politik dalam pentadbiran universiti.

5. Oleh yang demikian, saya melihat pakej transformasi politik yang diusulkan Perdana Menteri sejak tahun 2009 hanya menjadi satu hikayat dongeng semata-mata. Akta Hasutan 1948 masih dikekalkan untuk mengekang kebebasan akademik dan kebebasan bersuara. Akhirnya, para akademik hanya disibukkan di dalam dunia menara kaca yang terbina di dunianya yang tersendiri. - HARAKAHDAILY 3/9/2014

No comments: