Sunday, September 14, 2014

Pusingan U PM ancam survival 1Malaysia

  • Lim Guan EngLim Guan Eng
 1 / 1 
SHAH ALAM – Tindakan pusingan U oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 merupakan langkah ke belakang daripada komitmen asalnya dan ia adalah pemberian yang menyedihkan ketika negara di ambang sambutan Hari Malaysia ke-51.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa kegagalan Najib memansuhkan Akta Hasutan seperti mana yang dijanjikan sejak dua tahun lalu itu juga membuktikan beliau merupakan seorang pemimpin yang tidak menepati janji dan mengancam kelangsungan slogan 1Malaysianya.

“Najib telah membuat janji ini buat kali pertama dua tahun lalu dalam sebuah ucapan di majlis makan malam Jabatan Peguam Negara, ia kemudian diulang dalam sebuah wawancara bersama rancangan BBC World News pada 2 Julai 2013 dan kemudian diulang lagi pada 6 September 2014.


“Jelas sekali sikap ‘flip-flop’ Najib ini menunjukkan bahawa beliau tidak mampu bersemuka dengan para ekstremis yang mahu supaya terlantiknya sebuah kepimpinan diktator dengan kuasa autoritarian demi mencabul hak asasi manusia.

“Najib mesti mengakui bahawa gerakan moderatnya dan gagasan 1Malaysia adalah suatu kegagalan,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Semalam, Presiden Umno itu berkata kerajaan tidak akan bertindak tergesa-gesa dalam usaha menggantikan Akta Hasutan.

Katanya, kerajaan juga masih belum memutuskan sama ada akan memansuhkan atau meminda akta tersebut.

Tambahnya, akta baru itu perlu “lebih baik” berbanding Akta Hasutan dan bertindak mengawal fahaman serta pergerakan radikal, ekstrem atau fanatik selain mengekang pelampau kaum dan agama dalam masyarakat.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata lagi keputusan Najib baru-baru ini yang mewujudkan satu lagi laman web peribadi didakwa untuk menjauhkan diri daripada laman web sebelum ini (www.1Malaysia.com.my) yang telah tercemar dengan pelbagai janji yang telah dimungkiri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu juga mengecam keras terhadap siri pendakwaan menghasut terhadap pemimpin PR termasuk seorang pensyarah undang-undang kerana ia didakwa bermotifkan politik.

“DAP mengecam keras tindakan sedemikian yang bermotifkan politik kerana tiada pula tindakan tegas diambil terhadap Perkasa atau pemimpin Umno yang membuat kenyataan yang berbaur hasutan terhadap orang bukan Melayu dan bukan Islam, termasuk Perkasa yang pernah mengugut untuk membakar Bible berbahasa Melayu.

“Jika Azmi Shahrom, seorang pensyarah undang-undang yang pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, fakulti undang-undang utama dalam negara, boleh dituduh menghasut kerana memberikan pendapat ilmiahnya, tidak ada harapan lagi terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia,” katanya lagi.

No comments: