Tuesday, September 9, 2014

Rahsia PAS Kekal Lama


MELAKA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa ahli-ahli PAS mesti mempertahankan wala' dan thiqah kepada pimpinan bagi memastikan kelangsungan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Katanya, wala' dan thiqah merupakan rahsia keutuhan dan kekuatan PAS yang menyaksikan PAS boleh terus hidup sehingga 63 tahun sekarang.

Menurut beliau, PAS dilahirkan pada 24 November 1951 dan terus berkembang walaupun parti-parti lain seperi Parti Negara, Parti Melayu Semangat 46 dan lain-lain berkubur hanya selepas ditubuhkan beberapa tahun sahaja.

"Semua itu adalah kerana PAS memperjuang Islam dan mempertahankan institusi wala' dan thiqah," tegasnya pada program Liqa' Fikri Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka di Balai Islam Pernu dekat sini malam tadi.

Ustaz Idris yang juga Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat berkata ahli-ahli boleh mengkritik dan menegur pimpinan dengan cara beradab dan berhikmah tetapi bukannya mempertikaikan wala' dan thiqah. 

"Selagi pimpinan tidak menyuruh kepada maksiat dan bertentangan dengan Islam kita wajib memberikan wala' dan thiqah.

"Amat bahaya jika wala' dipermainkan, bahaya, bahaya cukup bahaya kalau institusi wala' ini diperkecilkan dan tidak dihormati," katanya lagi.

Menurut beliau tidak kira siapa pimpinan itu sama ada ulama, ustaz, professional dan aktivis semua ahli mesti wala' dan thiqah.

Katanya, ahli-ahli di peringkat kawasan mesti wala' kepada YDP kawasan, di peringkat negeri kena wala' kepada pesuruhjaya dan seterusnya.

"Tidak timbul seseorang itu ustaz atau ulama dan juga professional, semua kita mesti memberikan wala' dan thiqah walaupun seseorang itu lebih muda atau lebih junior dari kita, mereka telah diberikan amanah oleh pimpinan parti maka kita kena wala," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan pihak tertentu yang suka label melabel merupakan satu tindakan yang amat menyedihkan. -HARAKAHDAILY 9/9/2014

No comments: