Thursday, September 25, 2014

Saari Tak Perlu Tegak Benang Basah

  • Satiful Bahri MamatSatiful Bahri Mamat
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat menyelar sikap Adun Hulu Klang, Saari Sungib dengan menyifatkan Adun Pas itu tidak perlu menegakkan benang yang basah berhubung isu menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Beliau menjelaskan, perkara itu bukan rahsia dalam Pas sambil mempertahankan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah dua Adun Selangor termasuk Adun Morib, Hasnul Baharuddin dibeli rakan parti.

“Beli bukan mesti duit tetapi maruah. Kadang-kadang orang tidak faham bahasa orang Terengganu ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Satiful Bahri yang juga Adun Paka berkata, Saari turut menunjukkan akhlak di luar berjemaah apabila bertindak sedemikian.

Jelasnya, ketika Abdul Hadi mengadakan perjumpaan dengan Adun Pas di Selangor bagi membincangkan isu menteri besar negeri itu, Saari juga tidak hadir, malah tidak dapat dikesan dan dihubungi di mana dia berada ketika itu.
“Bagi Pas Terengganu, pendirian kita konsisten daripada awal mengenai kedua-dua Adun  itu supaya dipecat dan kita sudah hantar laporan kepada Jawatankuasa Disiplin parti serta memaklumkan kepada Majlis Syura Ulama,” katanya.

Sinar Harian pada 22 September lalu melaporkan, Saari mencabar Abdul Hadi mengemukakan bukti beliau dibeli oleh PKR untuk menandatangani SD menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Malah beliau turut mengulangi pendirian sedia dipecat daripada parti sekiranya Abdul Hadi mempunyai bukti beliau berbuat demikian dan bersedia dibawa ke muka pengadilan sekiranya terlibat dalam politik wang.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungan muktamar Pas sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan tidak senang dengan layanan PKR kerana mencuri dua wakil rakyatnya untuk menyokong Dr Wan Azizah.

Kata Abdul Hadi, beliau tidak memandang ringan perkara itu dan mendakwa Saari dan Hasnul sanggup menjadi ‘broker’ dan ‘barua’.

No comments: