Thursday, September 4, 2014

Tajuk sensasi TMI adalah satu fitnah - Khairuddin



KUALA LUMPUR: Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan tajuk sensasi 'Ulama PAS akui 2 Adun gagalkan usaha kerjasama dengan UMNO, Khalid' adalah fitnah The Malaysian Insider (TMI) terhadap beliau.

"Saya tidak pernah menyebut atau 'memperakui' bahawa PAS bekerjasama dengan Umno dalam isu MB Selangor," tulis beliau menerusi facebook Dewan Ulamak PAS Pusat. 

Beliau selaku Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan laporan itu rekaan dan fitnah TMI yang sangat jahat. 
Menurutnya, menasabkan kepada seseorang apa yang tidak disebut atau dikatakan oleh dirinya adalah fitnah jahat.


Jelasnya, antara petikan tulisan beliau bertajuk 'Ke mana PAS mahu dibawa' yang panjang ialah: "Secara teknikalnya TSKI hanya mempunyai sokongan 26 Adun termasuk 13 Adun PAS dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat. TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB dalam situasi dan realiti ini."

"Petikan ini hanyalah penyataan bagi apa yang sedang berlaku iaitu TSKI disokong 26 Adun. Ia bukan satu 'perakuan' daripada saya bahawa PAS bekerjasama dengan Umno," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tambahnya, Umno sememangnya mengisytiharkan di media sebagaimana semua orang tahu menyokong TSKI sebagai MB. -HARAKAHDAILY 4/9/2014

No comments: