Tuesday, September 2, 2014

Tiada perubahan ketara 3 penggal di bawah BN


TUMPAT: Biar pun Umno menganggap Pengkalan Kubor sebagai kubu mereka, namun bagi penduduk tempatan tidak banyak yang mampu dibangga selepas tiga penggal berada di bawah BN.

Seorang penduduk, Wan Akbar Wan Abdullah Alimin berkata, hanya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dapat dilihat selepas tiga penggal dikuasai BN.

Katanya, projek tersebut pun khabarnya ada kaitan secara tidak langsung dengan syarikat dimiliki pemimpin Umno Tumpat.

“Kewujudan MRSM ada kontorversi pada peringkat awal pembinaannya,” kata beliau ketika ditemui di sini.

Media pernah melaporkan syarikat yang terbabit membina sekolah berasrama itu mengorek pasir di Pantai Geting untuk ditimbunkan di tapak pembinaan.

Tapak MRSM asalnya kawasan berpaya sebelum ditimbuskan pasir yang disedut daripada tempat perkelahan tersebut.

Ekoran itu pada Disember 2006 kira-kira 300 penduduk berhimpun membuat bantahan tidak jauh dari tempat pasir dikorek.

Wan Akbar juga berkata, sebahagian besar projek pembangunan yang terdapat di sini diusahakan Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Katanya, MDT mewujudkan prasarana lebih selesa di Pantai Sri Tujuh termasuk menyediakan dewan dan bangunan madrasah setinggi dua tingkat.

“Difahamkan kira-kira RM10 juta dibelanjakan MDT bagi meningkatkan prasarana di Pantai Sri Tujuh Resort yang menjadi tumpuan ramai sekarang,” ujarnya.

Penduduk Kampung Tebing, Razali Wan Min, 67 pula berkata, ramai warga emas terutamanya nelayan di sini masih ingat lagi jasa bekas wakil rakyat PAS Allahyarham Wan Abdullah Alimin.

Beliau berkata, wakil rakyat PAS itu berjasa besar kepada nelayan di Pengkalan Kubor apabila menubuh persatuan nelayan.

“Sebelum adanya persatuan nelayan, pemasaran ikan dikuasai tauke Cina. Tauke membayar dengan harga tidak sepandan dengan keringat nelayan,” katanya.

Menurutnya selepas kewujudan Persatuan Nelayan Pengkalan Kubur pendapatan nelayan meningkat kerana tiada lagi orang tengah yang mengambil kesempatan. - HARAKAHDAILY 2/9/2014

No comments: