Sunday, September 21, 2014

Undi awal: 96.3 % tunai tanggungjawab


  • PRK Pengkalan Kubor
 1 / 1 
TUMPAT - Peratusan keluar mengundi awal PRK Dun Pengkalan Kubor mencatatkan 96.3 peratus atau 105 daripada 109 pengundi berdaftar telah membuang undi apabila pusat pembuangan undi ditutup jam 3 petang tadi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah itu meliputi anggota polis bagi kawasan ini.

"Selepas pusat pengundian ditutup pada jam 3 petang tadi, saya sahkan bahawa hanya 105 pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka.


"Baki empat lagi, seorang sakit (MC), seorang digantung tugas, seorang bertugas di Bukit Aman dan seorang lagi bertugas di Lahad Datu," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya lagi, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian kali ini yang dilihatnya sebagai sangat baik.

"Saya sangat berpuas hati, perjalanan hari mengundi hari ini berlangsung dengan penuh aman," katanya.

PRK Pengkalan Kubor menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang melibatkan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, calon BN, Mat Razi Mat Ail dan Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada Pas.

Kerusi Dun Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar meninggal Dunia akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.

Pada PRU13 lalu, Noor Zahidi dari BN menang dengan majoriti 1,736 undi menewaskan Saharun Ibrahim dari PKR dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) yang hanya meraih 65 undi.

Dun Pengkalan Kubor mempunyai 24,039 pengundi berdaftar di mana 51.84 peratus atau 12,462 orang daripadanya adalah lelaki.

No comments: