Sunday, July 21, 2013

PAS Perlu Perbanyakkan Lagi 'Kereta Kura-Kura'

Mungkin ramai yang tak perasan, antara strategi PAS menampakkan ceramah mereka ada sambutan ialah dengan menggunakan khidmat 'kereta kura-kura' yang akan bergerak sangat perlahan di kawasan-kawasan ceramah sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas.

Kesesakan lalulintas ini akan digunakan kemudiannya untuk menunjukkan ceramah itu ramai orang walaupun dalam banyak kes di Kuala Besut ini, ceramah PAS rata-rata tidak mendapat sambutan seperti mana ceramah di luar.

Itu pada waktu malam.  Pada waktu siang pulak, kereta kura-kura yang semuanya dihiasi dengan poster PAS dan Pakatan Rakyat ini akan bergerak segenap Kuala Besut dan secara tidak langsung mempromosikan parti tersebut.

Idea yang simple tapi kreatif ini telah banyak membantu mencipta gambaran yang positif terhadap ceramah PAS walaupun hakikatnya di beberapa tempat, terutama dalam kempen pilihanraya kecil di Kuala Besut ini, jumlah kehadiran adalah tersangat-sangat kurang.

Kadang-kadang disebutkan, jumlah kambing dan lembu pun lagi banyak.

Justeru, aku saran kepada PAS untuk perbanyakkan lagi khidmat kereta kura-kura ini dalam baki kempen yang masih tinggal.  Biarlah sampai kenderaan tak bergerak sekalipun semasa menghadiri lokasi ceramah, janji gambaran itu nanti boleh digunakan untuk menunjukkan sesaknya laluan ke ceramah PAS.

Tak usahlah nak kedekut sangat.  Ini aku dengar ada 5 biji kenderaan saja yang digunakan untuk tujuan tersebut.  Mana cukup, patut ada lebih banyak lagi sebab kereta kura-kura ini bagi impak yang sangat penting dari segi persepsi positif terhadap PAS.

Kalau aku boleh bagi cadangan, di Kuala Besut ini kan ada banyak jambatan yang agak sempit, kenapa tak suruh saja petugas parti letak kereta di tepi jambatan yang hampir dengan tapak ceramah, pun boleh beri impak yang sama jugak.

Apa sahaja yang boleh untuk pastikan kemenangan PAS.

No comments: