Wednesday, July 3, 2013

RCI Buang Masa Siasat Red Bean Army

CADANGAN beberapa pihak supaya kerajaan BN menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan tentera siber yang kononnya ditaja Pakatan Rakyat, Red Bean Army, pada pandangan aku adalah satu cadangan yang sia-sia dan membuang masa pihak-pihak terlibat.

Aku katakan membuang masa sebab pertama, Red Bean Army ini perlu dibuktikan kewujudannya dulu baru boleh dikaitkan dengan sesiapa.  Selepas itu, barulah dikaitkan dengan Pakatan Rakyat dan aku tak nampak pun macam mana ia boleh memberi hasil apa-apa kepada rakyat sebab Pakatan Rakyat tidak wujud secara rasmi.

Walaupun aku faham RCI adalah proses yang digunakan bila mana beban pembuktian tidak cukup untuk membawa kes ke Mahkamah, tapi Mahkamah tetap akan terlibat bila panel RCI mengeluarkan keputusan akhirnya nanti.

Ini yang timbul persoalan apa atau siapa yang di dakwa besok kalau Pakatan Rakyat yang dituduh menaja Red Bean Army ini tidak wujud secara rasmi?  Bukankah sia-sia namanya tu kalau diakhir proses itu nanti tidak ada pihak yang akan dipertanggungjawabkan!!

Tak tahulah kalau tujuan penubuhan RCI untuk menyiasat Red Bean Army ini sebenarnya untuk menyasarkan DAP.  Kalau itulah tujuannya, bermaksud RCI ini bukan nak cari kebenaran tapi jalan untuk menyalahkan pakatan pembangkang melalui DAP.

Sangsi tu ada sebab isu Red Bean Army ini hanya wujud setelah didedahkan bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun sebelum PRU13 lepas.  Prosiding dalam RCI ni tahu sajalah, sesiapa pun boleh cakap apa saja tanpa beri bukti untuk sokong keterangan mereka.

Ini yang aku bimbang sangat sebab ada lah sumber-sumber yang maklum kononnya ada beberapa orang bekas ahli Red Bean Army ini yang telah dipersiapkan UMNO untuk beri keterangan dalam RCI tu nanti dan sasaran mereka ialah DAP.

Oleh yang demikian, aku harap semua NGO-NGO pro Pakatan Rakyat yang berkaitan seperti Majlis Peguam, tampil ke depan dalam memastikan usaha penubuhan RCI bagi menyiasat DAP ini tidak diteruskan.

Aku jangka banyak masalah akan timbul kalau peranan Red Bean Army ini nanti dapat dikaitkan dengan Pakatan Rakyat atau mana-mana satu parti komponennya.  

Walaupun berkemungkinan besar ia tidak menjejaskan Pakatan Rakyat itu sendiri tapi kita ada masalah nak mengangani persepsi yang bakal timbul sepanjang perjalanan RCI itu nanti.

Perkara ini penting sebab kita tak mahu rakyat merasa tertipu dengan penerimaan baik terhadap Pakatan Rakyat di Internet, sebetulnya hanyalah 'simulasi' yang dijalankan oleh Red Bean Army ini menggunakan media sosial seperti Facebook dan sebagainya.

No comments: