Najib Tun Razak semalam membuat keputusan untuk tidak mengendahkan cadangan Menterinya sendiri, Idris Jala, agar syarikat penerbangan bermasalah MAS, dijual kepada pihak lain bagi mengurangkan kerugian yang perlu ditanggung kerajaan.
Menurut Najib, pelan pemulihan MAS sudah mula menunjukkan hasil, dengan jumlah kerugian terkumpul syarikat tersebut mula menunjukkan penurunan yang agak ketara.
Aku tak pastilah sejauh mana benar kenyataan Najib tersebut, hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada MAS akan benar-benar keluar dari kerugian yang dialaminya sekarang serta mula mencatatkan keuntungan atau sebaliknya.
Tapi satu yang pasti, keputusan Najib untuk terus mempertahankan MAS sebagai syarikat berkaitan kerajaan adalah kerana Najib tunduk kepada desakan orang Melayu yang mahu terus melihat bangsa mereka kekal menerajui syarikat tersebut.
Kalau dijual kepada pihak lain, orang Melayu bimbang pengurusan syarikat yang baru itu nanti akan berpindah kepada bukan Melayu dan ini boleh melemahkan penguasaan orang Melayu dalam bidang penerbangan khasnya dan ekonomi negara amnya.
Aku memang perasan sejak PRU13 berakhir, Najib kelihatan terlalu menjaga Melayu dan sedikit sebanyak mula meminggirkan kaum-kaum lain di Malaysia, terutama sekali orang cina.
'Sedikit sebanyak' mungkin ayat yang terlalu ringan, senang cakap orang Cina di Malaysia hari ini terpinggir terus dari sebarang pertimbangan kerajaan gara-gara menunjukkan penolakan besar-besaran terhadap Najib dalam PRU13 yang lepas.
Sebaliknya apa sahaja cadangan kumpulan pendesak Melayu akan diberi perhatian oleh Najib, tidak terkecuali dalam soal penswastaan MAS ini.
Persoalannya sekarang adakah pendekatan ini baik untuk ekonomi negara kita dalam jangka masa panjang? Tujuan polisi penswastaan dulu diperkenalkan adalah untuk mengurangkan liabiliti yang terpaksa ditanggung kerajaan.
Tapi sejak Najib mengambil alih pentadbiran negara, penguasaan kerajaan dalam syarikat-syarikat gergasi negara ini semakin hari semakin meningkat.
No comments:
Post a Comment