Thursday, August 15, 2013

Penjualan MAS Menguntungkan Negara

Cadangan Menteri, Datuk Seri Idris Jala untuk menjual syarikat penerbangan Malaysia (MAS) kepada pihak lain, adalah satu saranan yang sangat bagus dan patut diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh kerajaan.

Walaupun nampak kontroversi dan sudah pasti menjemput banyak kritikan dari penyokong BN, Idris Jala ternyata tidak peduli dan berfikiran di luar kotak.  Keutamaannya adalah menjimatkan wang kerajaan tanpa terlalu terikat dengan stigma politik, yang mana satu keputusan yang baik.

Syarikat berkaitan kerajaan itu telah banyak menghabiskan wang rakyat berikutan prestasi kewangannya yang tidak menentu selain sukar bersaing dengan syarikat penerbangan yang lebih muda usianya seperti Air Asia.

Kebodohan kerajaan BN memaksa MAS untuk meneruskan penerbangan yang tidak menguntungkan seperti di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak, ternyata telah menjejaskan pendapatan syarikat tersebut dan akhirnya memaksa kerajaan untuk memberikan suntikan dana bagi mengelakkannya bankrap.

Adalah tidak berbaloi untuk MAS meneruskan penerbangan di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak kerana kos operasi yang tinggi tidak setimpal dengan tambang yang dibayar.  Idris Jala yang berasal dari Miri sudah tentu maklum tentang perkara tersebut.

Maka itu, penjualan MAS kepada syarikat lain sememangnya satu usaha yang harus dipuji kerana ia dapat mengelakkan negara dari terus menanggung kerugian.  Biarlah kerugian berterusan MAS sekarang ini diambil alih oleh syarikat lain tanpa kerajaan terus mengeluarkan wang.

Pakatan Rakyat sudah lama memperjuangkan supaya MAS dijual kepada pihak lain ini.  Saban tahun, usul demi usul dikemukakan ahli parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen agar kerajaan meningkatkan mutu perkhidmatan MAS untuk meningkatkan jualan dan keuntungan, atau menjual sahaja syarikat tersebut.

Lagipun bukanlah satu perkara pelik kalau syarikat penerbangan seperti MAS dijual kepada pihak lain.  Banyak syarikat penerbangan lain di dunia juga turut dijual, terutama setelah kejadian 9/11 pada tahun 2001 menyebabkan kerugian yang besar kepada industri tersebut.

Dalam masa yang sama, aku melihat banyak tindakan Idris Jala sekarang ini yang memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat.  Kekerapan Idris membangkitkan soal perlaksanaan cukai GST sebelum ini, telah dikenal pasti antara punca yang menyebabkan BN kehilangan begitu banyak kerusi parlimen dan DUN di kawasan bandar dalam PRU13

Dengan agensi PEMANDU yang diketuainya sekarang semakin meningkatkan berpengaruh di Jabatan Perdana Menteri, aku yakin lebih banyak dasar kerajaan selepas ini yang akan mendapat bantahan rakyat dan seterusnya menumbangkang perikatan tersebut dalam PRU14 yang akan datang.

No comments: