Thursday, August 1, 2013

PKR Wajar Pertahankan Maznah

Keputusan PKR melantik Ketua Penerangannya, Latheefa Koya sebagai peguam bagi mewakili wanita Maznah Mohd Yusof yang sedang menghadapi siasatan dibawah Akta Hasutan kerana menghina Islam, adalah satu keputusan yang tepat.

Memang itulah yang sepatutnya dilakukan pun kerana kesalahan yang didakwa dilakukan Maznah ini adalah terlalu kecil pada pandangan ramai orang, bela anjing saja pun.

Berapa ramai Melayu yang aku kenal bela anjing ni, rasanya lebih dari 500 orang.

Aku pun tak pasti sejak bila pulak menjadi satu kesalahan memaparkan klip video anjing dengan berlatar belakangkan takbir hari raya, apatah lagi di dakwa di bawah Akta Hasutan yang biasanya digunakan untuk kesalahan yang boleh membawa kepada pergaduhan kaum.

Walaupun begitu, Maznah telah pun ditahan serta berkemungkinan besar akan didakwa. Adalah menjadi kewajipan kepada PKR untuk membantu wanita malang ini yang pada aku menjadi mangsa keadaan lanjutan dari penyiaraan klip video tersebut.

Dalam masa yang sama, aku melihat ada banyak ruang dimana orang Melayu dan kerajaan perlu berubah untuk memastikan penahanan tidak wajar seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Agak malang apabila seorang wanita yang mahu berkongsi cara hidupnya yang 'agak tersendiri' dengan orang lain, disalah tafsirkan sebagai cuba menghina agama Islam.  Aku tak nampak bagaimana Islam boleh menjadi lemah hanya kerana penyiaran klip video tersebut.

Dalam soal ini, aku menganjurkan kepada semua pihak agar bertenang dan mengambil tindakan yang lebih rasional.

Anjing ini, walaupun dikategorikan sebagai najis berat dalam Islam, tapi dari apa yang aku difaham tidak ada satu hukum pun yang menghalang orang Islam dari membelanya.  Lagipun, bukankah Islam menyeru agar berbuat baik sesama makhluk tuhan dengan anjing inipun tidak terkecuali?

Justeru, aku berharap sebagai persediaan membentuk kerajaan dalam PRU14 yang akan datang, PKR dan komponen dalam Pakatan Rakyat perlulah memikir semula peruntukkan undang-undang yang lapuk dan ketinggalan zaman seperti Akta Hasutan ini.

Kalau nak dikekalkan sekalipun, boleh, tapi perlulah dibuat perubahan besar-besaran kepada akta tersebut agar nasib yang menimpa Maznah hari ini tidak berlaku lagi kepada orang lain yang mungkin mempunyai 'kelainan' seperti dia.

No comments: