Kerancakan sambutan Hari Raya hari ini dengan rumah terbuka pemimpin kerajaan di sana sini mencetus satu persoalan yang besar di minda aku - duit siapa atau apa yang membiayai semua majlis tersebut?
Aku tidak ada persoalan tentang rumah terbuka yang dianjurkan pimpinan Pakatan Rakyat kerana aku tahu semua wang untuk membiayai majlis tersebut adalah datang dari sumbangan syarikat swasta, orang perseorangan yang merupakan penyokong Pakatan Rakyat.
Satu sen pun tidak guna duit kerajaan.
Berlainan pula kisahnya dengan rumah terbuka yang dianjurkan pemimpin BN yang mana pada pandangan aku semestinya menggunakan dana kerajaan, bukan wang pemimpin berkenaan.
Bukti? Itu tidak penting sekarang kerana yang nyata mana mungkin gaji sebagai Perdana Menteri dan Menteri mampu untuk menampung semua perbelanjaan tersebut. Apatah lagi seperti yang aku lihat di TV, jumlah kehadiran di rumah pemimpin BN jauh lebih besar dari pimpinan Pakatan Rakyat.
Sudah tentu jumlah orang yang banyak bermaksud wang yang digunakan untuk menampung majlis tersebut pun banyak juga.
Walaupun akhirnya wang itu digunakan untuk menjamu rakyat juga tapi ia hanya adil kepada rakyat yang mengunjungi rumah terbuka tersebut sahaja, sedangkan lebih ramai lagi jumlahnya yang pulang ke kampung dan dengan itu tidak 'merasa' hasil dari rumah terbuka tersebut.
Disamping itu ada juga pelancong asing yang turut mengunjungi rumah terbuka tersebut. Jumlah mereka mungkin kecil, tapi mereka masih lagi tergolong dalam kumpulan yang tidak layak kerana kehadiran singkat mereka ke sini tidak mendatang sebarang pulangan kepada hasil negara kita.
Aku harap dapat melihat perubahan jika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan nanti. Amalan membazir dan tidak berfaedah dan membazir seperti penganjuran rumah terbuka ini perlulah dikurangkan atau paling tidak dihapuskan terus.
Paling tidak, kekalkan ia setakat di kalangan rakyat jelata sahaja, pemimpin kerajaan tidak perlulah bersusah payah mengadakan majlis rumah terbuka secara besar-besaran kerana dikhuatiri ia mengandungi unsur-unsur yang tidak sihat, terutama punca wang untuk mengadakan majlis tersebut datang.
Kerajaan sepatutnya bertanggungjawab kepada setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan.
Lagipun aku tak nampak apa kepentingan mengadakan majlis rumah terbuka ini. Selain menjurus kepada pembaziran, ia juga mendatangkan rasa serba salah kepada sebahagian rakyat yang tidak berkemampuan mengadakan majlis seumpama itu,
Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment