Wednesday, August 21, 2013

Tindakan Bawa Pulang Rakyat Malaysia Satu Pembaziran


Aku difahamkan majoriti rakyat Malaysia ini tidak bersetuju sama sekali dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan dengan Ops Pyramid 2 bagi membawa pulang rakyat negara kita di negara Mesir yang sedang bergolak.

Operasi itu hanya membazirkan wang rakyat dengan hasil yang tidak seberapa.  Sebelum ini pun dalam Ops Pyramid 1, beratus juta wang kerajaan (sebut wang rakyat) dibelanjakan untuk membawa pulang rakyat Malaysia ke mari, tapi tidak memberikan apa-apa hasil yang menguntungkan negara.

Segelintir rakyat kita yang berkeras untuk tinggal, tidak seorang pun dari mereka yang terbunuh ataupun tercedera dalam amukan rakyat untuk menggulingkan Hosni Mubarak pada waktu itu.

Membuktikan keputusan kerajaan pada ketika itu adalah silap dan terburu-buru.

Belum lagi disebutkan bagaimana proses membawa pulang rakyat Malaysia itu digunakan untuk menaikan imej politik UMNO dengan gambar pemimpin-pemimpin mereka turun ke lapangan terbang menyambut ketibaan rakyat Malaysia terbabit.

Selain itu aku juga mendengar kroni-kroni UMNO membuat untung dari operasi ini dengan menjadi orang tengah kepada tempahan tiket penerbangan.  Dengan hampir 4,000 orang terlibat, aku yakin wang untuk membayar komisen ini pasti berjuta-juta ringgit nilainya.

Semua ini menguatkan lagi desakan Pakatan Rakyat supaya operasi ini tidak diteruskan.  Lagipun, PAS yang mempunyai ramai penyokong yang dihantar belajar disana telah menasihatkan semua mereka untuk kekal di kawasan tempat tinggal masing-masing dan mengelak sebarang konfrantasi.

UMNO sepatutnya sudah boleh berhenti untuk tunjuk baik dengan cara macam ini.  Ada lebih banyak perkara yang mana kalau dilakukan UMNO, boleh mendatangkan kebaikan kepada rakyat, selain dari pembaziran seumpama ini.

Tidak ada negara di dunia setakat ini yang mengadakan operasi besar-besaran untuk memindah keluar rakyat mereka dari negara tersebut setelah krisis terbaru ini bermula. 

Filipina yang punya lebih 6,000 orang rakyatnya yang bekerja di negara tersebut pun, hanya menasihatkan supaya kesemua mereka pulang dengan biaya sendiri.

Langsung tidak menggunakan wang rakyat.

Sepatutnya negara ini pun mengambil tindakan yang sama seperti Filipina yang menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat negara tersebut untuk membuat keputusan sama ada mahu pulang atau tidak, dan jika mahu pun dengan pembiayaan sendiri.

No comments: