Cadangan (atau arahan) Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu golongan ulama menjadi Timbalan Presiden parti tersebut dalam pemilihan akan datang, dilihat ramai sebagai cubaan merosakkan demokrasi dalam PAS.
Walaupun aku sedar jawatan Mursyidul Am itu begitu besar kuasanya dalam parti berlambangkan bulan itu- kadang kala mengatasi keputusan Muktamar yang lebih demokratik, tapi cadangan Nik Aziz ini dilihat cubaan untuk campur tangan dalam keputusan yang bakal dibuat ahli PAS.
Nik Aziz pun satu, patutnya dia sedarlah sikit cakap dia tu kadang-kadang menjadi undang-undang tidak bertulis yang mahu tidak mahu perlu diikuti penyokong PAS. Sebab itulah pada kedudukan sekarang, Nik Aziz perlu hati-hati buat kenyataan.
Tidak boleh sebarangan.
Nasib baik, dengan perubahan zaman dan pembaharuan minda ahli-ahli PAS (terutama di kalangan generasi baru), kenyataan Nik Aziz ini tidak begitu mendapat sokongan akar umbi PAS. Malah tidak keterlaluan kalau aku katakan, ditolak sama sekali.
Dari tinjauan ringkas yang aku buat, kelihatan ramai yang mahu Timbalan Presiden sekarang, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kekal sebagai Timbalan Presiden.
Lagipun menurut beberapa kenalan dalam PAS, selepas pemecatan Nasharudin sebagai Ahli Majli Syura, tidak ada tokoh lain dari kumpulan ulama yang mampu menggantikan Mat Sabu di kerusi nombor 2 PAS itu (urutan yang dilantik secara demokratik).
Nama-nama seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Harun Taib dan sebagainya, dilihat tidak mampu untuk menyaingi wibawa Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Lagipun, faktor umur kedua-dua pemimpin tersebut yang sudah terlalu lanjut berbanding dengan Mat Sabu menyukarkan lagi peluang mereka.
Justeru, siapakah di dalam fikiran Nik Aziz yang layak dari golongan ulama untuk menggantikan Mat Sabu? Kalau ikut hieraki, sepatutnya salah seorang dari tiga Naib Presiden sedia ada iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salehudin Ayub,
Masalahnya, tak seorang pun dari mereka yang terdiri dari golongan ulama.
Sebab itu aku kata, impak dari cadangan Nik Aziz ni bukan kecil, tapi besar. Jadi pimpinan PAS yang sedia ada perlu menjadi jalan bagaimana nak menyelesaikan pelbagai masalah tidak perlu yang muncul lanjutan dari cadangan tersebut.
Pun begitu hakikatnya, 'cadangan' Nik Aziz ini sudah meletakkan Mat Sabu dalam dilema sama ada nak meneruskan hasrat mempertahankan jawatan tersebut ataupun tidak. Bimbang kalau dia meneruskan pertandingan, lawannya nanti akan menuduh dia sebagai mengkhianati 'wasiat' Nik Aziz.
Bagaimanapun aku berharap agar ahli-ahli PAS lebih bijak membuat keputusan pimpinan macam mana yang mereka mahu untuk terus memimpin PAS dalam persediaan menghadapi PRU14 yang akan datang nanti.
Nik Aziz perlu dapat mesej yang jelas - dia mungkin orang paling tinggi kedudukkannya dalam PAS, tapi keputusan perwakilan dalam Muktamar adalah lebih tinggi dari Nik Aziz.
No comments:
Post a Comment