Wednesday, September 18, 2013

Anwar, Kit Siang, Nik Aziz Wajib Hadiri Pengebumian Chin Peng

Maklumat dari Thailand menyebut bahawa upacara untuk menghormati jenazah pejuang negara, Chin Peng akan diadakan pada hari Jumaat ini di sebuah hotel di tengah-tengah kota Bangkok.

Upacara selama 7 hari itu (sebelum jenazah dibakar), adalah bagi membolehkan rakyat Malaysia dan penyokong gerakan komunis hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin Parti Komunis Malaya itu.

Ini setelah permintaan keluarga arwah supaya jenazahnya dibawa balik ke negara ini, tidak dilayan oleh kerajaan Malaysia atas alasan arwah bukan rakyat negara ini walaupun banyak bukti menunjukkan arwah dilahirkan di Setiawan, Perak.

Semua ini bagaimanapun ada hikmahnya. Ia memberi petunjuk kepada rakyat betapa singkatnya pemikiran pentadbiran Najib Tun Razak, jika nak dibandingkan dengan negara-negara lain di sekitar rantau Asia Tenggara ini yang pernah terlibat dengan gerakan komunis.

Lihat di Indonesia, walaupun Presiden pertama negara tersebut, Bung Karno pernah terlibat dengan fahaman komunis apabila menyokong Partai Komunis Indonesia (PKI), tapi beliau masih disanjung oleh rakyat Indonesia.

Namanya pun masih tercatat pada banyak monumen di Jakarta. Malah, lapangan terbang antarabangsa Jakarta masih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, sehingga kini.

Thailand pula menyediakan tempat untuk pejuang komunis berlindung setelah kerajaan Malaysia enggan menerima mereka kembali sebaik perjanjian damai 1989 ditandatangani.

Sementara kerajaan dan segelintir rakyat kita, menghina, mengeji, malah, mencaci tokoh perjuangan komunis yang telah banyak berjasa kepada negara seperti Chin Peng.  Sehinggakan, tubuh badannya diharamkan dari memasuki negara ini, walau dalam bentuk abu mayat sekalipun.

Tidak mengapalah, hari ini mereka masih berkuasa, mereka boleh buat apa sahaja.

Bagaimanapun, pendirian kerajaan Malaysia itu tidak sepatutnya menghalang pemimpin utama Pakatan Rakyat untuk hadir ke Bangkok Jumaat ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Chin Peng.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat (atau wakilnya jika Nik Aziz uzur) dan Lim Kit Siang, wajib untuk menghadiri majlis tersebut bagi mewakili rakyat Malaysia yang menghormati peranan yang dimainkan arwah Chin Peng sepanjang menentang penjajahan British dan Jepun.

Pengorbanan dan jasa Chin Peng sepanjang hayatnya, termasuk cekal berjuang dalam segala macam kepayahan menentang tentera kerajaan Malaysia yang dilengkapi dengan senjata canggih, wajib dijadikan contoh oleh pimpinan Pakatan Rakyat dalam menghadapi cabaran mendatang.

Selain itu, kehadiran ketiga-ketiga pemimpin utama Pakatan Rakyat itu juga, akan dapat mengelakkan negara daripada dimalukan di peringkat antarabangsa kerana dianggap tidak menghormati jasa yang diberikan arwah Chin Peng sepanjang hidupnya.

No comments: