Tuesday, September 10, 2013

Kalimah Allah: Pakatan Rakyat Sentiasa Dibelakang Gereja

Memang bukan mudah untuk agama-agama lain selain Islam mendapat kelebihan di negara seperti Malaysia ini, termasuklah dalam soal penggunaan kalimah Allah yang sedang dituntut oleh pihak Kristian di negara kita.

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang memberikan kebenaran kepada pihak Gereja untuk menggunakan kalimah Allah di dalam majalah minggunannya, The Herald.

Proses perundangan ini masih panjang, kerana sekalipun Mahkamah Rayuan hari ini menolak keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, pihak Gereja masih boleh merayu keputusan akhir di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Jika sekalipun Mahkamah Persekutuan tidak berpihak kepada agama Kristian, pihak Gereja masih boleh mengemukakan usul baru di Mahkamah yang sedikit berbeza tapi masih berkenaan mendapatkan kebenaran untuk menggunakan kalimah Allah di Gereja.

Paling penitng sekali, sepanjang perjuangan itu, Pakatan Rakyat akan sentiasa bersama dengan pihak Gereja, bersandarkan ketetapan yang telah dipersetujui secara kolektif pada 8 Januari lepas bahawa Pakatan Rakyat menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja.

Kenyataan yang dibacakan Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang itu menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi Pakatan Rakyat terhadap agama Kristian sebagai ganti sokongan tidak berbelah bahagi juga oleh penganut agama tersebut kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lepas.

Soal Majlis Syura PAS kemudiannya menolak ketetapan tersebut, itu adalah cerita berbeza.  PAS sebagai sebuah parti tunggal memang menolak, tapi sebagai parti komponen Pakatan Rakyat, menerima ketetapan kalimah Allah digunakan di gereja.

Asal sahaja tidak disalahgunakan.

Setakat hari ini PAS masih mengekalkan keanggotaan dalam Pakatan Rakyat, bermaksud, apa juga keputusan Pakatan Rakyat, adalah melibatkan PAS sekali di dalamnya termasuklah dalam soal penggunaan kalimah Allah oleh pihak Gereja.  

Tidak ada keraguan tentang itu.

No comments: