Friday, September 6, 2013

Kenapa Anwar Senyap Pasal Kenaikan Minyak?

Majoriti penyokong Pakatan Rakyat berasa hairan dengan pendirian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat tidak begitu bersungguh menentang kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib baru-baru ini.

Kalau tidak salah aku, ada satu saja kenyataan dari Anwar selepas kenaikan ini berlaku yang disiarkan dalam Sinar Harian, selepas dari itu, tidak ada lagi.

Padahal, isu ini memang cukup kuat untuk membangkitkan semula bantahan besar-besaran dari rakyat kerana setiap orang akan terjejas dengan kenaikan tersebut.

Ketiadaan kenyataan yang tegas dari Anwar menyebabkan para penyokong Pakatan Rakyat terpaksa bergantung kepada kreativiti sendiri untuk membangkitkan perasaan benci rakyat terhadap kerajaan di media sosial dan seumpamanya.

Tapi adalah lebih baik lagi kalau Anwar dapat tampil dengan kenyatan keras yang boleh membakar lagi perasaan rakyat Malaysia dan seterusnya menggerakkan protes besar-besaran di seluruh negara seperti mana dalam beberapa himpunan sebelum ini.

Rakyat memerlukan pemimpin yang boleh memimpin bantahan tersebut dan tidak ada calon yang lebih sesuai melainkan Anwar.  

Walaupun pilihanraya umum seterusnya mungkin masih panjang, tapi sekurang-kurangnya rakyat perlu menunjukkan kepada kerajaan BN bahawa kita serius bila menentang kenaikan ini.

Adakah 'kebisuan' ini ada kaitan dengan pelawaan Ketua Pembangkang tersebut untuk berdialog dengan Najib seperti yang disebut beliau dalam ucapan sempena Hari Kemerdekaan Negara ke-56 yang lepas?

Tambah merisaukan, sudah ada yang menyampaikan kepada aku bahawa Anwar masih mengintai peluang untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri - jawaran yang katanya ditawarkan oleh Najib melalui Jusof Kalla sebagai ganti kerjasama dengan BN, walaupun Najib sendiri sudah menafikannya.

Jika itulah isunya, maka Pakatan Rakyat pasti akan menghadapi masalah yang lebih besar.  Sebab itu aku mengambil pendirian untuk tidak percaya dengan dakwaan tersebut, tapi dengan 'kebisuan' Anwar sekarang, pendirian itu semakin hari semakin menipis.

Bangkitlah Anwar.

Ketepikan keinginan peribadi dan utamakan kebajikan rakyat, lebih dari segalanya.  Percayalah, jika rakyat diletakkan di atas, jangan kata jawatan Timbalan Perdana Menteri, jawatan Perdana Menteri pun akan menjadi milik Anwar akhirnya.

No comments: