Friday, September 6, 2013

Tarikh CEC: Siapa Yang Nyanyuk?


Semua orang tahu imej DAP telah tercemar apabila pimpinan tertinggi parti tersebut membuat keputusan untuk tunduk kepada arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar parti tersebut mengadakan semula pemilihan parti itu yang dipertikaikan kesahihannya.

Ia seolah-olah memberikan gambaran parti yang penuh dengan pengamal undang-undang handal ini mudah mengalah dengan desakan dari agensi kerajaan.

Justeru, imej yang sedia buruk ini tidak perlu diburukkan lagi percanggahan kenyataan antara pemimpin-pemimpin kanan parti tersebut, terutama dalam soal tarikh untuk mengadakan semula pemilihan parti tersebut.

Inilah yang sedang menjadi isu besar sekarang bila Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Semula DAP, Anthony Loke berselisih pendapat mengenai tarikh sebenar pemilihan CEC.

Karpal kata 10 minggu dari 15 Ogos, Anthony kata hujung bulan ini - mana satu betul?

UMNO dan sekutunya dilihat cukup gembira dengan perkembangan ini kerana percanggahan kenyataan antara 2 pemimpin kanan DAP itu dilihat sebagai petanda bahawa pemilihan semula ini pun akan ada masalah yang sama juga.

Apatah lagi sudah disahkan kelmarin bahawa semua calon dalam pemilihan tahun lepas, akan dicalonkan semula dalam pemilihan yang akan datang, tidak ada muka baru yang lain.

Sedangkan sudah ada beberapa orang pemimpin Melayu yang namanya mula meningkat naik selepas menang dalam PRU13 yang lepas seperti Ahli Parlimen Raub, Datuk Ariff Sabri dan ADUN Mentakab, Tengku Zulpuri Shah, yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang.

Mereka ini rasanya perlu diberi peluang untuk bertanding dalam pemilihan semula CEC nanti.

Begitupun, aku sebenar lebih bimbang dengan kenyataan Anthony, kerana ia seolah-olah memberikan gambaran DAP terlalu tergesa-gesa untuk mengadakan pemilihan semula tanpa terlebih dahulu menyelesaikan masalah perwakilan yang layak untuk hadir.

Ini penting kerana menafikan hak perwakilan bermaksud demokrasi yang diperjuangkan dalam DAP sudah mati, seterusnya membenarkan banyak dakwaan sebelum bahawa kemenangan dan kekalahan calon CEC, adalah ditentukan oleh orang-orang tertentu sahaja.

Banyak pihak mahu DAP lebih teliti dalam soal mengadakan mesyuarat ini, walaupun ia mungkin mengambil masa yang lebih panjang.  Aku tidak mahu keputusan pemilihan semula ini nanti pun, akan dipertikaikan lagi oleh RoS dan seterusnya membawa kepada pengharaman DAP.

Kali ini yang betul-betul kejadian.

No comments: