Hampir semua pihak dalam Pakatan Rakyat bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendren yang menyifatkan kemenangan Najib sebagai Presiden UMNO tanpa bertanding buat penggal kedua berturut-turut, menunjukkan parti tersebut sudah ketandusan pemimpin muda.
Tapi atas kapasiti sebagai Naib Presiden PKR (dilantik), kenyataan Surendren itu merupakan satu 'tamparan' hebat kepada pimpinan dalam PKR sendiri dimana jawatan tertinggi parti, Ketua Umum yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak boleh dipertandingkan atau dicabar dalam pemilihan biasa parti.
Sekurang-kurangnya jawatan Najib sebagai Presiden UMNO masih boleh dicabar dan dipertandingkan.
Seterusnya mencetuskan persoalan, apakah niat sebenar Surendran membangkitkan persoalan tersebut, adakah untuk memalukan PKR secara tidak langsung, atau ada gerakan senyap dalam PKR yang mahu melihat jawatan Ketua Umum itu dipertandingkan?
Jawatan N Surendran sendiri sebagai Naib Presiden PKR, adalah dibuat secara lantikan setelah tidak ada wakil kaum India yang berjaya mengisi jawatan tersebut dalam pemilihan yang diadakan pada 2010.
Berbanding jawatan hampir setara di parti-parti komponen Pakatan Rakyat seperti Penasihat (DAP) dan Mursyidul Am (PAS) yang ada proses pemilihan sendiri (walaupun tidak secara langsung seperti Presiden UMNO), jawatan Ketua Umum dalam PKR ini memang tidak boleh dicabar sesiapa.
Untuk makluman, Penasihat DAP adalah dilantik dari kalangan 20 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang menerima undian tertinggi, sementara Mursyidul Am PAS dilantik oleh 15 ahli Majlis Syura Ulama (sebahagian adalah pemenang dalam pemilihan yang diadakan semasa Muktamnar Tahunan PAS).
Malah katanya (fakta ini aku perlu periksa semula), jawatan tersebut (Ketua Umum) tidak wujud pun dalam perlembagaan parti walaupun dikatakan mempunyai kuasa penuh.
Oleh yang demikian, aku menyokonglah kalau jawatan Ketua Umum ini nak pertandingkan. Pada aku, tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana kedudukan Anwar sebagai pengasas dan pemimpin ulung PKR, tidak akan mampu dicabar sesiapa.
Apatah lagi Presiden dan salah seorang pemenang Naib Presiden PKR adalah isteri dan anak Anwar sendiri, lagilah mengukuhkan kedudukan Anwar di kerusi teratas.
Selepas itu nanti, aku percaya tidak ada siapa yang boleh mempersoalkan ketelusan PKR dalam mengadakan pemilihan jawatan yang begitu penting kepada parti seperti Ketua Umum ini. Surendran sendiri bebas untuk mengkritik Najib jika dia menang tanpa bertanding (sekali lagi) selepas ini.
No comments:
Post a Comment