Pengumuman Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir semalam akan kesediaannya untuk mencabar jawatan Naib Presiden UMNO, merupakan satu malapetaka besar tertangguh kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Ini kerana, perlantikan Mukhriz sebagai Naib Presiden UMNO nanti akan membuka jalan kepada anak bongsu lelaki Mahathir itu untuk mendaki tangga yang lebih tinggi dalam UMNO, seterusnya membuka peluang untuk dia menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam jangka masa terdekat.
Kita perlu ingat, Malaysia ini walaupun bukan sebuah negara monarki mutlak, tapi sistem politik UMNO telah menjadikan negara ini sebuah negara monarki apabila anak dan bapa bersilih ganti menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Setelah Najib mengambil alih pentadbiran dari tangan Tun Abdullah pada April 2009, legasi itu dijangka berterusan dengan selepas ini giliran Hishamuddin, selepas itu giliran Mukhriz dan seterusnya entah siapa dari keturunan Najb.
Balik-balik pusing-pusing sekitar itu juga, macam sudah tidak ada orang lain.
Justeru, bagi mengelakkan semua itu dari berlaku, aku menggesa ahli UMNO yang mempunyai kuasa mengundi dalam pemilihan parti bulan depan supaya menggunakan kesempatan ini untuk 'menggulaikan' Mukhriz seperti mana Khairy Jamaludin 'menggulaikan dia dulu dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO pada tahun 2009.
Selain faktor monarki politik, rakyat bimbang DNA diktator Mahathir yang mengalir dalam tubuh badan Mukhriz akan menyaksikan negara ini sekali lagi berada di dalam era kegelapan seperti mana ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.
Memang negara ini menjadi moden dan taraf hidup rakyat meningkat, tapi berapa tinggi pula harga yang perlu dibayar rakyat untuk mengecapi kemodenan tersebut?
Demokrasi hampir mati, rakyat ditangkap sewenang-wenangnya dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), musuh-musuh politik Mahathir 'hilang' secara tiba-tiba atau disumbat kedalam penjara atas dakwaan palsu, penindasan kaum dan sebagainya, semua ini berlaku secara berleluasa di bawah pentadbiran Mahathir.
Adakah kita mahu melihat semua ini berulang semula?
Selagi aku hidup, aku tidak ingin melihat perkara itu berlaku. Sudah cukup besar nikmatnya apabila Mahathir meletakkan jawatan pada tahun 2003, jangan kita cipta satu lagi Mahathir dengan mengangkat Mukhriz di tempat tinggi dalam UMNO.
Aku harap ahli-ahli UMNO mendengar gesaan ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
No comments:
Post a Comment