Disenaraikan sebagai antara negara paling mudah untuk menjalankan perniagaan oleh institusi bertaraf antarabangsa seperti Bank Dunia, perlu diakui satu kejayaan yang layak untuk dibanggakan. Dengan pengiktirafan tersebut, ia akan menggalakkan lebih ramai lagi pelabur luar untuk masuk melabur di negara ini.
Ada lebih 200 negara di dunia ini sekarang, dan kejayaan menduduki tempat ke-6 adalah satu pencapaian yang bukan mudah untuk diperolehi. Tidak hairan kenapa pentadbiran Najib begitu menggembar gemburkan pencapaian tersebut.
Tapi setakat duduk di tempat ke-6 ini belum cukup baik sebenarnya. Malaysia boleh dapat kedudukan yang jauh lebih baik dari ini dengan syarat, Perdana Menteri kita ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan Najib Tun Razak.
Mengikut congakan beberapa pakar ekonomi terkemuka dalam dan luar negara, jika Anwar menjadi Perdana Menteri dan melaksanakan semua dasar ekonomi yang tersenarai dalam Manifesto Pakatan Rakyat yang lepas, Malaysia mampu mencapai paling tidak kedudukan di tempat ke 3 dalam senarai tersebut.
Dasar ekonomi Pakatan Rakyat dalam manifesto tersebut memang diakui sebagai antara yang terbaik di dunia, dan ditambah dengan penjimatan wang kerajaan hasil penghapusan rasuah dan kronisme, jangan hairanlah kenapa kedudukan Malaysia boleh jadi lebih baik dibawah kepimpinan Anwar.
Wang dari penjimatan itu akan digunakan untuk menyediakan prasarana yang lebih baik untuk pelabur domestik/luar membuat perniagaan di negara ini.
Itu dalam tahun pertama sebagai Perdana Menteri, aku yakin pada tahun kedua sahaja, Malaysia dibawah kepimpinan Anwar akan menduduki tempat pertama negara yang mudah untuk menjalankan perniagaan yang sekarang dimiliki Singapura.
Prestasi yang bakal ditunjukkan Anwar ini sebenarnya adalah jauh lebih baik dari Najib yang hanya berjaya menduduki tempat ke enam setelah lebih 4 tahun menjadi Perdana Menteri.
Walaupun ketika mengambil alih, Malaysia berada di kedudukan ke 23, tapi itu bukan indikasi yang menunjukkan Najib berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa. Kenaikan mendadak itu dikirakan satu perkara biasa, melihat kepada perubahan mendadak yang berlaku sebelum ini melibatkan negara-negara lain.
Bagi menyokong pendapat tersebut, aku mengambil Lithuania sebagai contoh. Tahun lepas negara itu diletakkan di tempat ke 27 dalam senarai tersebut, tapi dalam senarai terbaru negara itu berada di kedudukan ke-17 - melonjak sebanyak 10 anak tangga.
Jadi apa nak herankan dengan pencapaian Malaysia sekarang? Biasalah.
Yang rakyat perlu tanyakan ialah, kenapa Bank Dunia perlu menunggu selama 4 tahun sebelum memberikan Malaysia kedudukan ke-6?
Aku ada jawapan, semuanya kerana kelembapan Najib dalam mejalankan tugas dan lebih banyak bergantung kepada nasihat dari konsultan yang dilantik.
.
No comments:
Post a Comment